Seorang aktivis mengingatkan masalah lebih besar bakal dihadapi masyarakat Orang Asli Mah Meri daripada hanya kehilangan tempat tinggal, ketika sebahagian penduduk kampung di Selangor itu masih berunding dengan pihak berkuasa negeri mengenai notis pengusiran yang diberikan kepada mereka bulan lalu.
Pengarah Perkampungan Budaya Mah Meri Rashid Esa berkata persoalan besarnya bukanlah mengenai sama ada tanah itu boleh diganti atau ia dapat diselesaikan.
Sebaliknya, ia adalah mengenai “survival” komuniti itu sendiri, katanya kepada MalaysiaNow.
Rashid, yang bekerja rapat dengan komuniti itu sejak beberapa dekad lalu, berbicara mengenai tekanan berterusan yang dihadapi Orang Asli.
“Mereka tidak ada makanan sekarang. Mereka dapat gaji harian dan bekalan makanan mereka sudah habis kerana tidak dapat bekerja susulan perintah kawalan pergerakan.
“Mereka yang tinggal di Bagan Lalang hanya segelintir saja,” katanya.
Beliau merujuk Kampung Orang Asli di Bagan Lalang, di mana 13 orang daripada suku Mah Meri menghadapi pengusiran dari tanah di mana mereka tinggal sejak 20 tahun lalu.
Tanah tersebut adalah milik kerajaan Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Bhd.
Di Pulau Carey, yang terletak di selatan Pelabuhan Klang, masih wujud sejumlah 2,000 Orang Asli Mah Meri yang bekerja di ladang kelapa sawit dan hotel di samping mengumpulkan sumber alam semula jadi dan menjualnya sebagai sumber mata pencarian.
Kira-kira 2,000 lagi Orang Asli tinggal di Sepang, Tanjung Sepat dan kawasan Bagan Lalang yang berdekatan.
Rashid, yang bekerjasama dengan sebuah pasukan untuk mengirim bantuan makanan kepada keluarga Orang Asli Pulau Carey berkata bantuan itu hanya langkah sementara.
Selain itu, beliau berkata, ketika ini, bukan hanya sumber rezeki mereka sahaja yang berdepan risiko.
Budaya tradisi mereka, termasuk kepakaran dalam ukiran kayu khusus dan tarian tradisional turut diancam kepupusan kerana kampung budaya ditutup sejak awal pandemik ini melanda negara.
Menurutnya, hal ini akan memberi kesan besar terhadap kemajuan yang dicapai dalam mempromosikan budaya Mah Meri sejak 10 tahun kebelakangan ini.
“Sejak perkampungan budaya ditutup, mereka tidak lagi dapat menjual ukiran mereka kepada pelancong, sementara yang memiliki kemahiran itu meninggalkan kerja-kerja tersebut sama sekali kerana terpaksa melakukan perkara lain untuk terus bertahan.”
Beliau berkata 40 pekerja di perkampungan budaya diberhentikan dan tidak mempunyai pendapatan sejak setahun lalu.
“Selama 10 tahun, pekerja kami mengubah gaya hidup mereka kepada gaya hidup yang moden seperti kita. Mereka sudah tidak lagi boleh kembali mengamalkan cara tradisi.
“Tidak seperti orang lain yang boleh bawa Grab atau melakukan jualan langsung ketika diberhentikan, Orang Asli yang pernah bersama kampung itu tidak mempunyai bot untuk pergi ke laut, atau alatan untuk mengumpulkan makanan di hutan berdekatan,” katanya.
Beliau berkata pasukannya berusaha untuk membantu masyarakat Mah Meri dengan membawa bantuan bekalan makanan dan mendorong mereka untuk terus mengekalkan kemahiran tradisi.
“Kami ingin membuka semula perkampungan setelah wabak ini berakhir, dan kami perlukan tukang kraf untuk teruskan kerja-kerja kraf mereka.”
Mengenai situasi di Bagan Lalang, beliau berkata pelan menyeluruh yang jelas harus diberikan tentang bagaimana pembangunan yang dirancang di tapak tersebut, dan apakah ganti rugi yang Orang Asli perolehi.
“Sekadar beritahu orang ramai bahawa tanah itu bukan milik Orang Asli adalah jalan keluar mudah.
“Pemaju harus bertanggungjawab,” katanya di samping turut mencadangkan agar pampasan atau saham syarikat diberikan kepada Orang Asli.
“Ini akan menjadi langkah kehadapan bagi memajukan mereka, jadi bila kita minta mereka keluar, setidaknya mereka keluar dengan bermaruah.”