Sebanyak 128,150 syarikat dan melibatkan 1.57 juta pekerja yang mendapat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 untuk beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga menteri kanan berkata, jumlah tersebut ditapis dan diluluskan daripada sebanyak 586,308 syarikat dan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan sistem CIMS 3.0.
“Daripada 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS 3.0, yang kita benarkan 1.57 juta pekerja.
“Ini satu penurunan yang cukup besar dan mendadak untuk memastikan pergerakan dapat dikawal bagi menangani penularan Covid-19,” katanya.
Azmin berkata, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) bukanlah penentu tunggal untuk memberi kelulusan kepada syarikat-syarikat untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0.
Katanya, Miti hanya bertanggungjawab memberi kelulusan beroperasi kepada syarikat di bawah 15 kementerian, dan empat kementerian lain sudah mempunyai sistem kelulusan kebenaran bekerja yang sudah dilaras kementerian terbabit.
“Surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh Miti.
“Ada juga (surat) yang dikeluarkan oleh kementerian lain menggunakan sistem tersendiri yang diwujudkan terbukti berkesan untuk kumpulan sasaran mereka.
“Maka, Miti bukanlah penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan itu dianggap perkhidmatan penting atau sebaliknya,” katanya.
Azmin juga menjawab dakwaan sistem CIMS 3.0 digodam selepas seorang individu yang memiliki syarikat fotografi mendapat kelulusan Miti untuk beroperasi sepanjang PKP 3.0.
Menurutnya, individu itu memalsukan surat kelulusan tersebut.
“Setelah disiasat, kita mendapati ianya adalah tuntutan palsu.
“Maka Miti akan membuat laporan polis untuk menyiasat perkara ini.
“Miti terbuka kepada sebarang bentuk aduan atau kritikan mengenai sistem CIMS 3.0,” katanya.