- Iklan -
Berita

Sekarang bukan masa serbu pendatang asing, KP imigresen diberitahu

Aktivis hak asasi berkata langkah penguatkuasaan sepanjang krisis kesihatan awam akan merumitkan lagi situasi dan membahayakan lebih banyak nyawa.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin (tengah) dan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud (kanan) dalam sebuah majlis yang sama. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin (tengah) dan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud (kanan) dalam sebuah majlis yang sama. Gambar: Bernama

Aktivis hak asasi menyuarakan bantahan terhadap langkah penguatkuasaan menyasarkan pendatang asing tanpa dokumen sepanjang pandemik selepas beberapa kali ancaman menteri dalam negeri dan ketua pengarah imigresen untuk mengadakan operasi besar-besaran menyasarkan mereka.

Adrian Pereira berkata tindakan itu hanya akan menjejaskan usaha melawan Covid-19 dan membahayakan lebih banyak nyawa.

“Sekarang ini negara di bawah perintah darurat dengan tujuan spesifik iaitu selesaikan pandemik.

“Sekarang bukan masanya untuk penguatkuasaan sedemikian yang akan menyebabkan situasi Covid-19 semakin parah,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini sekali lagi menegaskan pihaknya akan menahan pendatang asing tanpa dokumen, kali ini mengatakan tindakan itu akan memudahkan pihak berkuasa menjalankan pemberian vaksin

Sebelum ini, Putrajaya berkata pemberian vaksin percuma akan diperluaskan kepada semua warga asing termasuk yang tidak memiliki dokumen bagi menyegerakan usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Pendirian tersebut dilihat bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Baru-baru ini Khairul mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kecaman ramai apabila berikrar untuk mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini yang didakwa bekerja di Malaysia tanpa membayar cukai “namun menikmati semua manfaat.”

Susulan pendiriannya itu, wujud kebimbangan ia bakal menjejaskan program vaksinasi kerajaan di mana kejayaannya sangat bergantung kepada sejauh mana ia dapat menarik jutaan pekerja asing untuk turut mendapatkan vaksin.

Namun, bagi Pereira yang merupakan pengarah eksekutif NGO North South Initiative, operasi penguatkuasaan tersebut adalah bertentangan dengan janji Putrajaya yang berkata pendatang asing akan diambil bekerja semula di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Di bawah program tersebut majikan dibenarkan untuk mengambil semula pekerja asing di empat sektor: restoran, kargo, borong dan peruncitan, serta pembersihan dan dobi.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang mengumumkan program tersebut pada April berkata, kerajaan bersetuju memasukkan pekerja asing tanpa dokumen daripada beberapa kategori ke dalam program tersebut.

Ini termasuk yang mendaftar program pengambilan semula pekerja namun tidak melengkapkan proses pendaftaran dan belum menerima pas sementara selain yang melarikan diri namun belum dilaporkan majikan dan yang memiliki dokumen sah dari negara asal.

Mempersoalkan langkah menyerbu pendarang asing tanpa dokumen sepanjang pelaksanaan darurat Pereira berkata ia merupakan perkara “yang tidak masuk akal”.

Beliau berkata sebarang langkah menahan pendatang asing tanpa dokumen ketika negara berdepan krisis kesihatan akan menyebabkan kesan negatif kepada ekonomi.

Sementara itu, seorang pemimpin komuniti Indonesia yang bekerja rapat dengan pendatang asing tanpa dokumen dalam negara ini turut mempersoalkan dakwaan Khairul yang mengatakan mereka “menikmati semua manfaat” tanpa membayar cukai.

“Bukankah membayar cukai itu adalah tugas majikan?” katanya.

Ketika dihubungi MalaysiaNow dia berkata pendatang asing ketika ini sangat takut untuk disaring Covid-19, apatah lagi untuk mendaftar vaksinasi.

Ini berlaku walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sudah beberapa kali memberikan jaminan pendatang asing tanpa dokumen yang tampil mendapatkan suntikan tidak akan ditahan.

“Dalam situasi begini, teman-teman saya takut untuk menjalani ujian saringan Covid-19 atau mendaftar vaksinasi, namun virus ini akan menular kepada semua tanpa memilih warganegara,” katanya yang tidak mahu dinamakan.

“Walaupun kami sudah memujuk teman-teman untuk mendaftar vaksinasi melalui aplikasi yang disediakan kerajaan, mereka masih takut kerana kenyataan menteri dalam negeri.”

Beliau menyuarakan harapan agar program rekablirasi akan kekal dilaksanakan supaya lebih ramai pekerja asing dapat tampil dan “selesaikan masalah tersebut”.

Dalam pada itu, Pereira menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula gelaran kepada pekerja tanpa dokumen sebagai “pendatang asing tanpa izin” atau Pati.

“Sebahagian daripada mereka adalah mangsa perhambaan moden yang pelakunya harus dihukum.

“Kami percara lebih 90% pendatang asing tanpa dokumen adalah mangsa buruh paksa dan penyeludupan manusia. Jadi istilah Pati itu sebenarnya tidak benar.”