- Iklan -
Berita

Ketua polis negara digesa segerakan siasatan terhadap pembantu Anwar

Yusoff Rawther berkata beliau tidak mahu mengganggu proses keadilan ketika mediasi dijalankan dengan Farhash Wafa Salvador.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Farhash Wafa Salvador (kiri) dan Mohamed Yusoff Rawther.
Farhash Wafa Salvador (kiri) dan Mohamed Yusoff Rawther.

Lelaki yang mendakwa Anwar Ibrahim melakukan serang seksual terhadapnya dua tahun lalu mempersoalkan status laporan yang dibuatnya terhadap setiausaha politik presiden PKR itu selepas setahun siasatan dijalankan bermula awal tahun lalu.

Mohamed Yusoff Rawther turut berharap ketua polis negara yang baru dilantik, Acryl Sani Abdullah boleh menyegerakan siasatan terhadap laporannya yang mendakwa Farhash Wafa Salvador menyerangnya di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada Mei 2019.

Yusoff, yang turut mendakwa Anwar melakukan serang seksual terhadapnya memfailkan saman sivil terhadap Farhash menuntut ganti rugi bagi kecederaan.

Dia juga turut mengajukan saman terhadap setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah susulan beberapa kenyataan berkait dengannya.

Ketika ini, semua pihak yang terlibat dalam saman tersebut bersetuju untuk memulakan proses mediasi.

Yusoff, 28, mengesahkan kepada MalaysiaNow berhubung proses mediasi tersebut, namun tidak mahu memberikan ulasan lanjut agar proses keadilan terhadapnya tidak terganggu.

“Sudah hampir lebih dua tahun sejak saya buat laporan serangan itu. Saya sudah berikan semua bukti yang diperlukan termasuk laporan perubatan kecederaan saya,” kata Yusoff kepada MalaysiaNow.

“Mereka mesti beritahu sama ada kes itu dibekukan atau tidak, campur tangan politik adalah perkara terakhir yang saya mahu fikirkan.”

Yusoff berkata Farhash menyerangnya secara fizikal di pejabat Anwar menyebabkan kecederaan di bahagian bahunya.

Dalam laporan perubatan Hospital Pantai, beliau dikatakan mengalami kecederaan koyak di bahagian bahu dan pembedahan untuk kecederaan itu memakan kos sebanyak RM40,000.

Bagaimanapun, Farhash menafikan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Yusoff berkata masih meyakini bahawa pihak polis akan melakukan “perkara yang sepatutnya”, namun berkata mungkin ada pegawai-pegawai yang tidak berintegriti yang mungkin menjejaskan siasatan tersebut.

Pada Februari 2020, Yusoff dipanggil polis selepas siasatan terhadap Farhash disemak semula oleh Pejabat Peguam Negara.

Siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang melibatkan jenayah mendatangkan kecederaan dan gangguan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.