- Iklan -
Berita

Ekonomi akan pulih namun ‘lockdown’ jejaskan perniagaan, kata ahli akademik

Madeline Berma berkata 'lockdown' dua minggu menambah tekanan kepada kerajaan dan usaha pemulihan ekonomi ketika negara terus menyaksikan peningkatan kes dan kematian.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Sekatan pergerakan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan penutupan sektor ekonomi dan sosial.
Sekatan pergerakan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan penutupan sektor ekonomi dan sosial.

Seorang pakar ekonomi berkata Malaysia akan bangkit semula daripada impak pandemik Covid-19 namun mengingatkan proses tersebut mengambil masa dan perlahan selepas satu lagi sekatan pergerakan penuh dilaksanakan menyebabkan hampir semua operasi perniagaan ditutup.

Madeline Berma dari Universiti Malaysia Sarawak berkata sebarang harapan untuk melihat pemulihan segera ekonomi terganggu akibat pelaksanaan sekatan terbaru kerajaan, susulan peningkatan mendadak kes jangkitan harian yang mencecah lebih 9,000 minggu lepas selain hampir 100 kematian direkodkan pada 29 Mei.

Sekatan pergerakan penuh yang akan berlangsung hingga 14 Jun depan diumumkan Putrajaya pada 28 Mei lalu selepas kematian mencecah angka 2,552.

Sejak itu, ia meningkat lebih 600 orang mencecah angka 3,182 pada 4 Jun.

Dalam sebuah wawancara pada Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata PKP 1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu menyebabkan negara menanggung kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari.

Ekoran itu, kerajaan terpaksa membelanjakan RM340 bilion bagi bantuan tunai selain beberapa pakej rangsangan untuk menghidupkan semula ekonomi negara.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Madeline berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru ini akan menambah tekanan kepada kerajaan dalam merangka rancangan bagi menangani pemulihan ekonomi ketika peningkatan jangkitan baru dan kematian terus berlaku.

Dengan kadar pengangguran yang boleh dikatakan tinggi sebanyak 4.8% dan 4.9% pada Januari dan Februari tahun ini, Madeline berkata pemulihan pasaran kerja mungkin akan terus perlahan ditambah pula sektor pelancongan yang lumpuh ketika ini.

“Ekonomi sedang berada dalam proses pemulihan namun pergerakannya sangat perlahan,” katanya.

“Tujuh pakej rangsangan fiskal bernilai RM340 bilion memberikan beban besar dalam situasi kewangan kerajaan ketika ini.”

Jumlah itu belum termasuk bantuan kewangan bernilai RM40 bilion yang diumumkan Muhyhiddin menjelang sekatan pergerakan penuh pada 31 Mei lalu.

Pakej Pemerkasa Plus termasuk RM2.1 billion bagi Bantuan Prihatin Rakyat, RM1.5 bilion dalam program subsidi upah selain RM2 juta bagi membantu memulihkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Madeline berkata pakej Pemerkasa Plus itu dilaksanakan juga walaupun kerajaan memiliki ruang kewangan yang terbatas dengan RM5 bilion suntikan fiskalnya diambil daripada simpanan negara.

“Langkah-langkah tersebut boleh membantu PKS dan perniagaan demi melindungi negara daripada badai besar ekonomi dan bagi menyediakan bantuan jangka pendek,” katanya.

“Ia boleh membantu mereka untuk kekalkan perniagaan dan operasi selain dapat mengekalkan pekerja.”

Beliau turut berkata bantuan itu juga termasuk pemberian tunai dan moratorium pinjaman boleh memberikan nafas lega kepada pelbagai golongan seperti pemandu teksi dan pemandu pelancong yang sangat terjejas akibat PKP.

“Namun itu semua hanya bantuan sementara, bukan penyelesaian jangka panjang.

“Kerajaan perlu terapkan pendekatan bersasar untuk menyokong golongan M40 yang terpaksa menutup perniagaan sepanjang beberapa tahap lockdown, seperti pusat spa, kedai pakaian dan restoran.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.