- Iklan -
Berita

Keluarga Muslim dirempuh trak di Kanada adalah ‘serangan terancang’

Menurut polis terdapat bukti menunjukkan ia adalah suatu serangan yang dirancang dan didorong oleh kebencian.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki membawa jambangan bunga untuk memperingati keluarga Muslim yang diserang di London, Ontario, Kanada pada 7 Jun lalu. Gambar: AFP
Seorang lelaki membawa jambangan bunga untuk memperingati keluarga Muslim yang diserang di London, Ontario, Kanada pada 7 Jun lalu. Gambar: AFP

Rempuhan seorang lelaki yang memandu trak terhadap empat sekeluarga sehingga maut di wilayah Ontario, Kanada disifatkan polis sebagai serangan “terancang”.

Suspek trak terbabit yang memakai baju “seperti perisai badan”, melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian rempuhan tersebut pada petang Ahad.

Detektif Paul Waight berkata suspek berusia 20 tahun itu kemudian ditahan di sebuah pasar raya yang terletak kira-kira tujuh km dari tempat kejadian di London, Ontario.

“Terdapat bukti menunjukkan ia adalah suatu serangan yang dirancang dan didorong oleh kebencian. Dipercayai kesemua mangsa disasarkan kerana mereka adalah penganut Islam,” kata Paul dalam sebuah sidang media.

Mangsa kejadian itu termasuk seorang wanita warga emas berusia 74 tahun, lelaki (46 tahun), wanita (44 tahun) dan remaja perempuan berumur 15 tahun.

Nama kesemua mangsa bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut Datuk Bandar London Ed Holder kesemua mangsa adalah melibatkan tiga generasi keluarga berkenaan.

Akibat insiden itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan beransur pulih.

“Biar saya berterus-terang, ini adalah satu serangan bunuh terhadap orang Islam dan warga London, ia berakar daripada kebencian yang terpendam,” kata Holder lagi.

Suspek yang dikenali sebagai Nathaniel Veltman kini berdepan empat pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh.

Bagaimanapun, Waight berkata, pihak berkuasa tempatan juga sedang berbincang dengan polis serta peguam negara mengenai penambahan pertuduhan “melakukan keganasan.”

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata beliau “sangat terkejut” dengan serangan tersebut.

“Buat komuniti Muslim di London dan seluruh negara, ingatlah, kami akan sentiasa mendukung anda. Islamofobia tidak ada tempat dalam masyarakat kita, kebencian adalah sebuah kejahatan, ia perlu dihentikan,” kata beliau dalam sebuah ciapan Twitter.

Menurut polis, dalam insiden serangan yang berlaku kira-kira jam 8.40 malam Ahad lalu, lima sekeluarga itu berjalan beriringan di kaki lima sebelum sebuah trak berwarna hitam “naik ke atas laluan berkenaan lalu merempuh” mangsa yang sedang melintas di simpang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.