- Iklan -
Berita

Sultan Selangor bimbang kewujudan golongan antivaksin jejas sasaran imuniti kelompok

Sultan Sharafuddin mahu PPV di Selangor ditambah khususnya di kawasan luar bandar selain mencadangkan vaksinasi secara pandu lalu atau klinik bergerak bagi mempercepatkan proses.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa mengenai kewujudan golongan antivaksin di Selangor dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan memaklumkan baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa masyarakat khususnya daripada wabak Covid-19.

“Baginda bimbang sekiranya terdapat individu ataupun masyarakat yang berdegil untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai sekali gus meletakkan negara dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut berdukacita dengan peningkatan angka harian kes positif baharu di Selangor dan jumlah kematian yang amat membimbangkan di negeri ini serta berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat Selangor.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bahawa sehingga 1 Jun, Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti yang didakwa.

“Adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta,” kata baginda dalam kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin berkata dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda lain dan baginda mahu supaya pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah khususnya di kawasan luar bandar serta berpendapat pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Baginda turut memuji langkah kerajaan Selangor yang ketika ini agresif melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk seluruh rakyat Selangor dan baginda menasihatkan agar rakyat yang menerima suntikan vaksin Covid-19, supaya kekal berada dalam keadaan waspada dan berhati-hati.

Sultan Sharafuddin merayu agar rakyat terus tekun mematuhi arahan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan termasuklah duduk di rumah jika tiada urusan yang penting dan tidak leka dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan hospital kerajaan dan swasta serta klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjwab dengan penuh komited dan berdedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa terperlihara.