- Iklan -
Berita

Pelaburan RM8.5 bilion syarikat gergasi Eropah di Malaysia tingkatkan usaha pemulihan pandemik

Pengumuman AT&S tersebut sejajar dengan kenyataan Mida bahawa negara telah mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM80.6 bilion, meningkat 95% berbanding tahun lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama wakil AT&S, Mida dan Miti dalam sebuah telesidang bersama hari ini. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama wakil AT&S, Mida dan Miti dalam sebuah telesidang bersama hari ini. Gambar: Facebook

Syarikat pembuatan papan litar AT&S mengumumkan pelaburan sebanyak RM8.5 bilion bagi pembinaan kilangnya di Malaysia, memberikan satu lagi dorongan utama kepada ekonomi negara yang kini dalam usaha untuk pulih daripada kesan buruk akibat pandemik Covid-19.

Syarikat gergasi yang berpangkalan di Austria itu memiliki kilang di beberapa negara termasuk India, China dan Korea Selatan.

Ia merupakan peneraju global dalam pembuatan papan litar berkualiti tinggi selain turut mengeluarkan substrat litar bersepadu, dan dikenali sebagai pembekal utama alat ganti jenama komputer global termasuk Apple.

Walaupun pandemik melanda dunia ketika ini, AT&S mencatatkan peningkatan keuntungan dan pendapatan dua digit bagi tempoh 2020/21, dengan merekodkan pendapatan sebanyak €1.19 bilion, meningkat sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.

Kilangnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah menjadi kemunculan pertama syarikat itu di rantau Asia Tenggara, ia dijangka dapat mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berteknologi dan berimpak tinggi ketika mula beroperasi pada tahun 2024.

“Tidak syak lagi, pelaburan terbaru AT&S adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap prospek ekonomi di Malaysia serta sumber daya manusia yang ada untuk mengatasi tuntutan teknologi tinggi industri berimpak tinggi,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dalam sebuah kenyataan bagi mengalu-alukan keputusan syarikat tersebut.

Langkah terbaru syarikat itu dimaklumkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Andreas Gerstenmayer kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa sidang video semalam.

Gerstenmayer berkata AT&S terlibat dalam usaha “yang intensif dalam mengenal pasti lokasi untuk membina kilangnya di seluruh dunia”, sambil menambah Malaysia terpilih untuk memajukan slogan strategi permodalan syarikatnya, “More than AT&S”.

“Selain pembuatan produk berteknologi tinggi, sejumlah besar kegiatan R&D akan dilaksanakan di lokasi baru ini. Malaysia dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi dan dapat mengukuhkan rantau ini sebagai hab pembuatan teknologi tinggi di Asia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AT&S Ingolf Schröder menggambarkan Taman Teknologi Tinggi Kulim atau lebih dikenali sebagai Kulim Hi-Tech Park sebagai “jodoh terbaik” dalam strategi pengembangan syarikatnya.

Pengumuman syarikat tersebut sejajar dengan kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bahawa negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor primer pada suku pertama tahun ini, kenaikan sebanyak 95.6% berbanding RM41.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Azmin berkata projek AT&S adalah hasil daripada usaha Mida dalam menjalin hubungan erat dengan syarikat itu sejak November lalu, sebagai sebahagian daripada usaha di inisiatif Penjana, atau Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang dilancarkan kerajaan bagi menggalakkan semula ekonomi berikutan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2020.

Papan litar berteknologi tinggi keluaran AT&S digunakan dalam peranti mudah alih, industri elektronik, aplikasi automotif serta teknologi perubatan dan kesihatan.

Sementara itu, Muhyiddin memuji kementerian perdagangan antarabangsa dan industri serta Mida susulan di atas usaha mereka dalam menarik pelabur ke dalam negara.

“Pengumuman pelaburan ini merupakan kemenangan utama bagi Malaysia dalam membuktikan usaha kami bagi mendapatkan pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat antarabangsa.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.