- Iklan -
Berita

Pekerja asing di Selangor menang kes lawan Goodyear

Mahkamah mengarahkan Goodyear membayar semula gaji pekerja-pekerja asing yang bekerja di kilangnya.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Salah satu bengkel yang menggunakan bekalan tayar dari Goodyear. Syarikat itu  berdepan kritikan berhubung layanan buruk terhadap pekerja asing di kilangnya. Gambar: AP
Salah satu bengkel yang menggunakan bekalan tayar dari Goodyear. Syarikat itu berdepan kritikan berhubung layanan buruk terhadap pekerja asing di kilangnya. Gambar: AP

Puluhan pekerja asing di Selangor menyambut kemenangan mereka di Mahkamah Perusahaan berdepan syarikat gergasi pembuatan tayar Goodyear kerana membayar gaji rendah, kata peguam mereka pada Jumaat dalam kes terbaru berhubung layanan buruk terhadap pekerja asing.

Malaysia merupakan tempat tinggal jutaan pekerja asing yang berasal dari negara-negara miskin Asia. Mereka melakukan kerja-kerja dengan bayaran upah yang rendah di sektor perkilangan, perladangan dan domestik.

65 pekerja asing dari Myanmar, Nepal dan India yang bekerja di kilang Goodyear di Selangor telah melaporkan kes mereka itu kepada mahkamah, kata peguam R Chandra Segaran kepada AFP.

Mereka menuduh syarikat tersebut tidak mematuhi perjanjian pekerja-majikan apabila gagal membayar elaun giliran kerja tambahan, bonus dan kenaikan gaji, kata Chandra lagi.

Chandra turut menambah kerugian yang terpaksa ditanggung mereka mencecah RM2 juta (AS$485,000) bagi beberapa tahun sejak mereka memulakan kerja di syarikat tersebut.

Syarikat tersebut bagaimanapun mendakwa pekerja-pekerja asing tersebut tidak termasuk dalam perjanjian tersebut. Namun keputusan Mahkamah Perusahaan memihak kepada pekerja pada Rabu dan mengarahkan Goodyear membayar semula gaji pekerjanya.

Chandra menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai sebuah kemenangan yang menandakan “setiap orang harus menikmati manfaat yang sama seperti pekerja Malaysia”.

“Pekerja asing tidak boleh didiskriminasi.”

Bagaimanapun, setakat ini masih tidak dapat dipastikan sama ada Goodyear akan memohon semakan semula ke atas keputusan tersebut.

Ketika dihubungi, syarikat tersebut enggan memberikan sebarang ulasan.

Sebelum ini, Mahkamah Perusahaan memutuskan keputusan serupa terhadap Goodyear dalam kes yang melibatkan 119 pekerja asing, namun syarikat tersebut telah memfailkan rayuan.

Syarikat-syarikat di Malaysia sering berdepan kritikan berhubung layanan buruk terhadap pekerja asing.

Tahun lalu, ribuan pekerja asing yang bekerja di Top Glove, syarikat pembuat sarung tangan getah terkemuka dunia telah dijangkiti wabak Covid-19 akibat asrama pekerjanya yang kotor dan sesak.

Amerika Syarikat juga telah melaksanakan sekatan import sarung tangan syarikat itu ekoran kes buruh paksa.