- Iklan -
Berita

PH tolak Mageran dicadangkan Dr Mahathir

Pakatan Harapan mahu Parlimen dibuka sekarang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pakatan Harapan (PH) terdiri dari tiga parti DAP, PKR dan Amanah.
Pakatan Harapan (PH) terdiri dari tiga parti DAP, PKR dan Amanah.

Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan penolakannya terhadap penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dicadangkan Dr Mahathir Mohamad mengatakan terus konsisten bahawa darurat perlu ditamatkan segera.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan menolak cadangan Mageran,” kata Majlis Presiden PH dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut penolakan itu adalah berdasarkan pendirian konsisten bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

Dalam sidang media dalam talian semalam Mahathir berkata beliau tidak melihat keperluan kerajaan baru dibentuk dalam suasana pandemik yang dihadapi negara ketika ini, namun memilih pembentukan sebuah majlis yang mirip dengan Mageran yang pernah dibentuk beberapa dekad lalu.

Mageran yang ditubuhkan pada 1969 oleh perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein adalah bagi mengembalikan keluhuran undang-undang selepas rusuhan kaum 13 Mei.

Cadangan Mahathir itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah ketika mengadap beliau di Istana Negara.

“Saya beritahu pilihan raya boleh jadi berbahaya kerana kita sudah melihat sendiri apa yang berlaku di Sabah, jadi itulah apa yang saya beritahu kepada beliau,” kata Mahathir pada satu sidang media secara dalam talian semalam.