- Iklan -
Berita

Kebenaran perniagaan beroperasi berdasarkan arahan MKN, kata DBKL

DBKL hari ini menafikan mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan aktiviti perniagaan di ibu kota sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menafikan mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan aktiviti perniagaan di ibu kota sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sebarang kebenaran untuk perniagaan beroperasi tertakluk kepada keputusan dan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi ialah pasar borong, pusat penjaja, pasar berbangunan/berbumbung, gerai tepi jalan, bazaria, kios/gerai berkunci, trak makanan, penjaja beredar, permit sementara, lesen waktu terhad dan lesen sementara KL Prihatin.

“Pasar pagi terbuka adalah sama seperti pasar malam/pasar tani yang tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

DBKL berkata setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sehingga kini pihak DBKL telah membuat pemantauan di lokasi tersebut dan sejumlah 22 notis kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa wujud layanan dua darjat oleh DBKL dalam membenarkan pasar-pasar beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh selepas menerima aduan penjaja pasar pagi terbuka yang diarahkan untuk menghentikan operasi dalam tempoh tersebut.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.