- Iklan -
Berita

Netanyahu tumbang, pembangkang bentuk kerajaan baru Israel

Namun pemimpin Palestin tidak memberikan reaksi positif berhubung pembentukan kerajaan baru tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Israel meraikan pembentukan kerajaan baru di Israel, Naftali Bennett mengangkat sumpah selepas menerima satu majoriti di Knesset. Gambar: AP
Penduduk Israel meraikan pembentukan kerajaan baru di Israel, Naftali Bennett mengangkat sumpah selepas menerima satu majoriti di Knesset. Gambar: AP

Benjamin Netanyahu akhirnya dijatuhkan selepas 12 tahun memegang tampuk pentadbiran di Israel selepas Knesset mengundi kerajaan baru dibentuk.

Kerajaan baru Israel itu dibentuk daripada gabungan pambangkang itu berikrar akan membaiki perpaduan rakyat yang sebelum ini tercalar akibat pentadbiran panjang Netanyahu.

Netanyahu gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya pada 23 Mac lalu.

Ia adalah pilihan raya keempat dalam masa dua tahun. Siri pilihan raya itu bagaimanapun tidak berjaya menyekat kemaraan pembangkang yang diketuai bekas menteri pertahanan Israel Naftali Bennett dan pemimpin pembangkang Yair Lapid.

Pemimpin berhaluan kanan itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri mengetuai “kerajaan perubahan”. Beliau akan memimpin gabungan parti yang diluluskan menjadi kerajaan selepas memenangi majoriti satu undi: 60-59.

Selepas undian di Parlimen itu, Netanyahu dilihat berjalan ke tempat Bennett dan menjabat tangan musuh politiknya itu.

Antara perjanjian perkongsian kuasa dalam kalangan pembangkang, Bennett akan menjadi perdana menteri sehingga September 2023 dan kemudian akan menyerahkan jawatan utama negara itu kepada Lapid, pemimpin parti pembangkang berhaluan tengah Yesh Atid, bagi dua tahun seterusnya.

Netanyahu, 71, merupakan pemimpin paling lama menjadi perdana menteri di Israel dan mendomunasi landskap politik di negara itu.

Beliau menjadi perdana menteri sejak 2009 dan sebelum itu pernah menjadi perdana menteri dari 1996 hingga 1999.

Beliau kekal mengetuai parti berhaluan kanan Likud dan kini menjadi ketua pembangkang di Knesset.

Ketika ucapan di Knesset beliau berikrar: “Kami akan kembali menjadi kerajaan.”

“Jika sudah ditakdirkan kami menjadi pembangkang, maka kami akan jalankan tugas ini dengan tegas sehingga kami dapat sekali lagi mengatasi kerajaan berbahaya ini dan kembali mengemudi negara ini mengikut cara kami.”

Pemimpin Palestin tidak memberikan sebarang reaksi positif berhubung kerajaan baru Israel.

“Ini hanya urusan dalaman Israel. Pendirian kami sentiasa jelas, apa yang kami mahu adalah negara Palestin dengan sempadan 1967 dan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Jurucakap Hamas yang merupakan kumpulan Islam yang menguasai Gaza berkata, “Ia adalah entiti penjajahan yang kita perlu tentang bagi mendapatkan hak kita semula.”

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden juga turut dilaporkan mengucapkan tahniah kepada Bennett dan berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan baru itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.