- Iklan -
Berita

WHO beri amaran penularan virus lebih laju daripada vaksinasi

Pemimpin kesihatan awam dunia turut mengingatkan komitmen bilangan suntikan dari negara-negara G7 terlalu kecil.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin di Rwalpindi, Pakistan. Kadar vaksinasi dunia masih dianggap lemah dengan bekalan yang bergerak perlahan selain sumbangan yang masih dianggap kecil daripada negara-negara kaya. Gambar: AFP
Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin di Rwalpindi, Pakistan. Kadar vaksinasi dunia masih dianggap lemah dengan bekalan yang bergerak perlahan selain sumbangan yang masih dianggap kecil daripada negara-negara kaya. Gambar: AFP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung wabak Covid-19 kini menular lebih laju daripada kadar vaksinasi global yang dilancarkan, mengatakan ikrar negara-negara G7 yang mahu berkongsi berbilion dos suntikan vaksin dengan negara-negara lebih miskin tidak cukup bagi menampung keperluan ketika ini.

Pemimpin-pemimpin kesihatan global turut mengingatkan komitmen bilangan suntikan dari negara-negara itu terlalu kecil, diedarkan secara perlahan ketika lebih dari 11 bilion suntikan diperlukan ketika ini.

Menghadapi ketidakpuasan hati berhubung akses suntikan vaksin yang tidak seimbang, beberapa pemain besar industri negara-negara G7 berjanji pada sidang kemuncak hujung minggu lalu di Britain untuk meningkatkan jumlah sumbangan dos vaksin kepada lebih dari satu bilion, bilangan itu meningkat dari 130 juta yang dijanjikan pada Februari lalu.

“Saya menyambut baik pengumuman negara-negara G7 yang akan menyumbangkan 870 juta dos vaksin (yang baru), terutama melalui Covax,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

“Ini adalah bantuan besar, tetapi kami memerlukan lebih banyak vaksin, dan kami perlukannya segera. Sekarang ini, virus bergerak lebih cepat daripada kadar vaksinasi global.

“Lebih dari 10 ribu orang mati setiap hari… komuniti-komuniti ini memerlukan vaksin, dan mereka memerlukannya sekarang, bukan tahun depan.”

Ketika ramai orang di kebanyakan negara kaya menikmati keadaan kembali normal susulan kadar vaksinasi yang tinggi, suntikan vaksin masih lembab di wilayah miskin di dunia.

Bank Dunia mengumumkan, dari segi dos yang diberikan, ketidakseimbangan antara negara G7 dan negara berpendapatan rendah mempunyai perbezaan nisbah 73 berbanding satu (73:1).

Sebilangan besar sumbangan vaksin oleh negara G7 akan disaring melalui Covax, sebuah badan global yang bertanggungjawab memastikan akses vaksin berlaku secara adil.

Ia diuruskan oleh WHO, pakatan vaksin Gavi dan Cepi iaitu Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik.

Setakat ini, ia menghantar lebih dari 87 juta dos vaksin ke 131 negara, bilangan yang sangat sedikit daripada jangkaan.