- Iklan -
Berita

Kementerian pertanian segera atasi kenaikan harga sayur

Kementerian pertanian dan industri makanan mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi kenaikan hingga 40 peratus harga sayur-sayuran ketika ini, dipercayai berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Pahang. Timbalan menteri II kementerian itu, Che Abdullah Mat Nawi berkata pihaknya bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan untuk menyelesaikan perkara itu di […]

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang peniaga di Pasar Borong Klang memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Seorang peniaga di Pasar Borong Klang memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kementerian pertanian dan industri makanan mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi kenaikan hingga 40 peratus harga sayur-sayuran ketika ini, dipercayai berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Pahang.

Timbalan menteri II kementerian itu, Che Abdullah Mat Nawi berkata pihaknya bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan untuk menyelesaikan perkara itu di semua peringkat rantaian iaitu daripada pengeluar hingga kepada pengguna.

“Kami sudah mendapat maklumat mengenai permasalahan itu dan sedang memperhalusinya segera supaya jalan penyelesaian dapat diambil…kita tidak menafikan di mana-mana pun akan ada masalah ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang ini.

“Jadi, kementerian pertanian dan Fama akan mengambil tindakan, malah kami juga menyediakan bilik gerakan yang beroperasi penuh melibatkan beberapa pegawai bagi memastikan sebarang masalah dihadapi sepanjang rantaian iaitu daripada peringkat pengeluar kepada pengguna akan diselesaikan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita di Pasar Nelayan Teluk Kumbar, di Balik Pulau hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau aktiviti bekalan makanan dan rantaian pemasaran ikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung dan kawasan pendaratan ikan di Teluk Kumbar, di Balik Pulau.

Abdullah berkata sektor pertanian dikategorikan sebagai perkhidmatan penting dan ia perlu diteruskan seperti biasa namun prosesnya berkemungkinan berbeza kerana pelaksanaan PKP, PKPD dan sebagainya.

“Prosesnya mungkin mengambil masa kerana SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan kerajaan juga terpaksa mengetatkan SOP kerana tidak mahu ada pihak lain mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan daripada sektor pertanian tapi sebenarnya untuk tujuan lain. Situasi ini menyukarkan tetapi dari segi operasi, sektor pertanian memang dibenarkan beroperasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata sebanyak 41,364.82 tan metrik ikan bernilai RM164 juta direkodkan didaratkan di seluruh negara sejak Januari hingga Mei lepas.

Beliau berkata bekalan ikan untuk rakyat negara ini mencukupi setakat ini walaupun PKP dilanjut hingga hujung bulan ini.

Sejak Isnin lepas, beberapa harga sayur-sayuran antaranya tomato, timun jepun, cili, kubis, kacang buncis, lada benggala dan semua jenis salad meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus, dipercayai kerana pengeluaran terpaksa dihenti serta-merta berikutan PKPD di Cameron Highlands.

Media melaporkan punca utamanya kerana 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat keluar bekerja.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.