- Iklan -
Berita

Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, kata Agong

Beliau berkata ini bagi membolehkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan di Dewan Rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan.
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan.

Yang di-Pertuan Agong hari ini menggesa agar sidang Parlimen diadakan segera bagi membolehkan ordinan darurat dibahaskan, beberapa jam selepas mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahasakan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata sebuah kenyataan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menegaskan kepentingan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil yang boleh berfungsi secara efektif dalam menangani penularan Covid-19 dan meningkatkan semula ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan perunrukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Sesi Parlimen ditangguhkan sejak Januari di bawah perintah darurat yang diisytiharkan bagi membendung penularan Covid-19.

Pada 4 Jun lalu, Putrajaya berkata ia sedang mempertimbangkan sistem Parlimen hibrid melibatkan kehadiran ahli dewan secara fizikal dan maya.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan turut berkata lebih banyak kajian akan diadakan dan laporan berkaitan dengan langkah itu akan dibentangkan dalam Kabinet secepat mungkin.

Sebelum ini, kemungkinan untuk mengadakan sidang Parlimen maya dibangkitkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

Pada 27 Mei lalu, Azalina mempersoalkan penangguhan sidang Parlimen susulan perintah darurat yang diisytiharkan Januari lalu.

Ahli Parlimen Pengerang itu mengutarakan beberapa syor untuk menjalankan persidangan Dewan Rakyat secara maya dengan mengatakan pandemik masih akan berterusan dalam tempoh yang lama.

Ahli politik pembangkang dari Pakatan Harapan dan beberapa NGO yang dikaitkan dengannya memulakan proses undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan bagi membolehkan mahkamah mengisytiharkan perintah darurat yang diisytiharkan Agong tidak mengikut Perlembagaan.

Dalam perutusan khasnya semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat fasa Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata Parlimen boleh bersidang semula pada fasa ketiga pelan tersebut dijangka pada bulan September atau Oktober dengan SOP yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” katanya.