- Iklan -
Berita

PM ambil maklum titah Agong, jamin langkah susulan berdasarkan Perlembagaan

Kenyataan PMO hari ini berkata perdana menteri telah menjelaskan usaha-usaha kerajaan berhubung pandemik Covid-19 dalam pertemuan bersama Agong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Kerajaan mengambil maklum titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan menjamin langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang akan diambil, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Dalam sesi-sesi mengadap ke atas Agong, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyembah maklum dan menasihati Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19, penguatkuasaan ordinan-ordinan daurat,” kata PMO dalam sebuah kenyataan hari ini.

PMO turut berkata pertemuan bersama Agong turut membincangkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat selain pelaksanaan sidang Parlimen dan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menggesa agar sidang Parlimen diadakan segera bagi membolehkan ordinan darurat dibahaskan, beberapa jam selepas mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara.

Kenyataan beliau juga turut dipanjangkan Raja-Raja Melayu dalam kenyataan berasingan menyatakan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Selasa lalu, Muhyiddin mengumumkan empat fasa pemulihan negara dengan mensasarkan sidang Parlimen dibuka semula dalam fasa ketiga yang dijangka akan bermula sekitar bulan September atau Oktober depan.

Dalam perutusannya, Muhyiddin berkata fasa ketiga pelan pemulihan itu akan menyaksikan beberapa sektor akan dibuka semula termasuk Parlimen yang digantung sejak darurat diisytiharkan Januari lalu

“Saya ingin menyatakan komitmen saya di sini bahawa sidang parlimen dapat diadakan selama fasa ini pada bulan September atau Oktober, dengan tunduk pada SOP yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” katanya.