- Iklan -
Berita

Banyak negara terpaksa tangguh program vaksinasi, kata WHO

Fasiliti Covax telah membekalkan 88 juta dos vaksin, ia diedarkan ke 131 negara, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran awalnya.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Sri Lanka berbaris untuk menerima vaksin Sinopharm di sebuah padang permainan di Colombo, Sri Lanka. Gambar: AP
Penduduk Sri Lanka berbaris untuk menerima vaksin Sinopharm di sebuah padang permainan di Colombo, Sri Lanka. Gambar: AP

“Sebilangan besar” negara miskin terpaksa menangguhkan program vaksinasi Covid-19 ekoran kekurangan dos, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.

Kekurangan dos di negara-negara itu bermaksud orang ramai yang telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 terpaksa menunggu lama sebelum mereka mendapat suntikan kedua.

“Kami mempunyai rekod sebilangan besar negara yang terpaksa menangguhkan pemberian dos kedua vaksin mereka,” kata Bruce Aylward, wakil WHO dalam program fasiliti antarabangsa Covax yang menyediakan vaksin bagi negara-negara miskin.

“Seingat saya, lebih dari 30 atau 40 negara yang menyasarkan vaksinasi AstraZeneca, misalnya, tak dapat melaksanakannya,” tambah Aylward.

Negara-negara yang terkesan dengan masalah kekurangan vaksin tersebut termasuk negara-negara di benua India, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, kata pakar WHO itu.

Beberapa negara jiran India, seperti Nepal dan Sri Lanka, adalah antara wilayah yang “sangat terkesan” dan berdepan “gelombang buruk penyakit itu”, tambahnya lagi.

Institut Serum India (SII) yang mengeluarkan dos vaksin AstraZeneca sepatutnya menjadi antara tulang belakang bekalan Covax – namun India telah mengetatkan eksport vaksin ke luar negaranya bagi menumpukan usaha memerangi krisis pandemik yang menyaksikan lonjakan kes jangkitan dalam negara itu.

“Kami ketika ini sedang berusaha sehabis baik untuk bekerjasama secara langsung dengan AstraZeneca selain badan seperti SII, dan menggesa kerajaan India untuk memulakan semula penghantaran vaksin ke luar negara supaya kita dapat dos-dos kedua untuk diberikan kepada orang ramai di negara-negara itu kerana sudah lama ia tertangguh daripada sasaran kami,” kata Aylward.

Beliau turut berkata “hanya beberapa negara sahaja sekarang ini yang memiliki sumber kewangan, dan yang mengeluarkan produk-produk (vaksin) memiliki akses”.

Pada Isnin, WHO memberi amaran wabak koronavirus semakin lebih pantas menular daripaka usaha vaksinasi global.

Menurutnya, ikrar negara-negara G7 untuk menyediakan satu bilion dos vaksin di negara-negara miskin juga tidak mencukupi ketika ini.

Mengikut data WHO, hanya 1% populasi di Afrika telah menerima vaksin lengkap.

Setakat Khamis lalu, fasiliti Covax telah menyediakan 88 juta dos vaksin yang diedarkan ke 131 negara, jumlah yang jauh lebih kecil daripada angka yang disasarkan pada awal program itu dilancarkan.