- Iklan -
Berita

Pekerjaan gig untuk semua ketika dunia profesional dilanda krisis pandemik?

Dengan menawarkan kepakaran profesional, pekerjaan gig tidak bermakna perlu menghantar makanan atau membawa penumpang semata-mata.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pejalan kaki berjalan pada deretan kedai-kedai yang menutup perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Suasana dikawasan ini kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan PKP 3.0, pasaran pekerjaan menjadi semakin mengecil dalam negara.
Seorang pejalan kaki berjalan pada deretan kedai-kedai yang menutup perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Suasana dikawasan ini kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan PKP 3.0, pasaran pekerjaan menjadi semakin mengecil dalam negara.

Kebiasaannya, pekerjaan “gig” sering dikaitkan dengan kerja seperti penghantar makanan, pembawa barangan atau pekerjaan lain yang tidak memerlukan kelayakan tinggi.

Namun, pada era yang semakin mencabar dari sudut kewangan dan kos sara hidup, ramai profesional yang mempunyai kepakaran dan kelayakan mencari peluang berbentuk kerja-kerja gig yang menepati kelayakan mereka.

Sookie Ng, seorang penulis dalam industri kreatif yang kini bekerja dengan firma penerbitan di Kuala Lumpur berkata, meskipun sudah mempunyai kerja tetap, dia ingin memanfaatkan masa terluang dengan kerja sampingan.

Namun, kebanyakan daripada kerja sampingan itu tiada kaitan dengan bidang tugasnya.

“Di mana-mana saya mencari, yang ada hanya kerja sepenuh masa. Jika ada kerja separuh masa pun, ia kerja penghantar atau kerja berkaitan teknologi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sookie berkata, tidak banyak kerja separuh masa berkaitan industrinya yang boleh dijumpai, ditambah pula dengan pengalaman menyedihkan berdasarkan pengalaman orang lain, antaranya majikan yang terlalu mendesak dan kadang kala langsung tidak dibayar.

Dia terjumpa satu iklan di Facebook yang menjentik rasa ingin tahunya.

Iklan itu memaparkan portal carian pekerjaan, MakeTimePay.

“Saya menghantar beberapa permohonan untuk tugas gig yang ditawarkan namun tidak terlalu memikirkannya. Saya dipilih untuk melakukan tugas itu dan kemudian menerima bayaran saya,” katanya menceritakan pengalaman melakukan kerja gig pertamanya.

Kerja-kerja gig merujuk kepada kerja jangka pendek yang diberikan bayaran.

Istilah ini menjadi popular apabila khidmat penghantaran makanan mula mendapat tempat dan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.

Ramai merebut peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan menjadi penghantar makanan, barangan atau membawa penumpang.

Di Malaysia, selain masalah penggangguran, golongan pekerja juga berhadapan dengan masalah kerja yang tidak selari dengan kelayakan mereka.

Golongan tersebut mempunyai kelayakan dan kepakaran, namun mencari kerja-kerja gig yang sesuai dengan kelayakan tersebut.

Tiada data rasmi mengenai jumlah pekerja gig di Malaysia, namun dianggarkan jumlahnya antara 250,000 hingga 300,000.

Pengasas dan pengarah eksekutif MakeTimePay, Shahryn Azmi berkata dengan peluang yang betul, ramai golongan profesional mahukan kerja gig yang berkaitan dengan kepakaran mereka.

“Kesemua faktor ini menjadi sebab mengapa MakeTimePay semakin mendapat tempat. Ketika ini, terdapat lebih 120,000 peluang mencari pendapatan di portal MakeTimePay,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menerusi portal itu, Shahryn berkata seorang akauntan yang ingin mencari pendapatan lebih contohnya, tidak perlu menjadi penghantar makanan.

Sebaliknya dia boleh menggunakan kepakaran dan ilmu perakaunannya untuk tugas atau kerja gig membantu sebuah syarikat untuk menguruskan kewangannya.

“Pekerja-pekerja gig ini dibayar untuk masa peribadi mereka berdasarkan kemahiran dan kelayakan sebenar mereka.”

Menurut Shahryn, portal itu menggunakan algoritma kecerdasan buatan untuk memadankan pencari kerja dan tugas-tugas gig yang selari dengan kepakaran masing-masing.

Namun cara ini tidak selalu berjaya membuat padanan memandangkan sesetengah tugas tidak memerlukan kelayakan akademik atau profesional, sebaliknya minat dan pengalaman.

Selain memanfaatkan pekerja, majikan atau syarikat juga boleh menggunakan portal itu untuk akses kepada tenaga kerja.

“Pilihan pekerjaaan tradisional selalunya menggajikan tenaga sepenuh masa atau tidak menggajikan pekerja langsung. Tetapi dengan pilihan di MakeTimePay, penggajian tenaga kerja boleh dilakukan mengikut keperluan, boleh jadi hanya untuk sejam, sehari atau sebulan.

“Dengan cabaran Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan, kita melihat perusahaan mikro, kecil dan sederhana bergelut untk menampung kos overhed kakitangan mereka. Untuk satu tempoh, mereka dibenarkan beroperasi dan untuk satu tempoh lain, mereka diminta tutup. Namun pada masa yang sama, masih ada permintaan untuk produk merekam” katanya.

Menerusi padanan kerja gig mengikut kelayakan ini, syarikat boleh menawarkan pekerjaan sesuai dengan keperluan semasa mereka.

Selain golongan pekerja, siswa yang ingin mencari pendapatan sampingan juga boleh memanfaatkan portal itu, seperti yang dilakukan oleh Delson Ngan, seorang pelajar di Asia Pacific Insititute of Technology.

Dia suka melakukan kerja separuh masa, tetapi peluang kerja seperti itu sukar dicari.

Ada juga kerja yang diperolehnya berdasarkan rekomendasi daripada rakan-rakan.

“Tidak banyak perkara yang boleh dilakukan semasa PKP, jadi saya fikir mengapa tidak buat duit jika ada peluang.

“Walaupun saya dalam bidang teknologi, saya bukan seorang programmer jadi kerja-kerja yang sesuai untuk saya tidak selalu ada. Namun pilihan di MakeTimePay lebih luas dan saya berjaya jumpa beberapa kerja gig yang sesuai dengan saya,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam bidang sistem maklumat.