- Iklan -
Berita

Stadium nasional dijadikan PPV mega tingkatkan program vaksinasi

PPV Stadium Nasional Bukit Jalil National dijangka memiliki kapasiti untuk pemberian 10,000 suntikan vaksin sehari sekiranya ia berjalan lancar.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
PPV Stadium Nasional Bukit Jalil memulakan operasi hari ini. Gambar: Bernama
PPV Stadium Nasional Bukit Jalil memulakan operasi hari ini. Gambar: Bernama

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) mega bakal dibuka bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.

Beliau berkata PPV di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah yang paling besar telah dibuka hari ini, ia dijangka dapat menjalankan pemberian 5,000 suntikan vaksin sehari.

“PICK terus meperkasakan pembukaan PPV mega. Bukit Jalil akan beroperasi dengan suntikan 5,000 suntikan sehari dan kita akan tingkatkan kapasiti maksimum 10,000 suntikan sehari apabila kita melihat proses suntikan berjalan lancar dan patuhi SOP,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, PPV di UiTM Shah Alam, yang turut dibuka hari ini untuk penduduk Selangor menyasarkan operasi vaksinasi sebanyak 3,000 suntikan sehari.

Khairy turut berkata 17 PPV awam baru memulakan operasi di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan hari ini.

Beliau berkata Malaysia menjangka 10% populasi akan melengkapkan vaksin pada pertengahan Julai depan jika angka suntikan yang diberikan bermula bulan ini dapat kekal konsisten di antara 200,000 dan 300,000 setiap hari.

Khairy turut berkata nisbah ketika ini adalah setiap 100 suntikan yang diberikan, 30 daripadanya merupakan dos kedua vaksin.

Beliau berkata bagi mencapai 10% populasi divaksinasi – sejumlah 3.2 juta individu perlu menerima vaksin – untuk itu, 10.7 juta dos perlu diberikan berdasarkan jumlah tersebut.

“Berdasarkan unjuran dan pertimbangan terhadap bekalan vaksin dan kapasiti PPV, kami unjurkan kita akan dapat sempurnakan sasaran dua suntikan lengkap itu pada pertengahan Julai.

“Kkita menyasarkan lapan juta dos dapat diberikan pada Jun dan capai 10.7 juta pada pertengahan Julai.

“Ini akan melibatkan usaha menggerakkan kapasiti harian kita agar 10% populasi dalam negara menerima vaksin lengkap pada pertengahan Julai,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.