- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang banyak faktor sebelum peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

Kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi KKM dan seluruh sistem yang ada, bagi memastikan kaedah intervensi boleh dilakukan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana di Jalan Sultan kelihatan lengang daripada kunjungan orang pada hari kedua perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula 1 Jun lalu.
Suasana di Jalan Sultan kelihatan lengang daripada kunjungan orang pada hari kedua perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula 1 Jun lalu.

Kerajaan akan melihat pelbagai faktor termasuk situasi sebenar Covid-19 dalam negara serta kaedah intervensi sebelum memutuskan negara boleh beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU), situasi sebenar sentiasa berubah.

“Dia (Pelan Pemulihan Negara) ada kita panggil nilai ambang atau threshold… tetapi kita kena faham keadaan berubah-ubah, sebab itu, kita boleh buat sedikit pelarasan.

“Ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin di Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, Bukit Gambir semalam.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi kementerian kesihatan dan seluruh sistem yang ada, bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan.

“Misal kata data itu masih tinggi sedikit, kita nak turunkan bawah 4,000 kes. Hari ni 4,743 kes, jadi tak jauh dari sasaran. Apapun kita nak tengok apa intervensi yang pihak KKM dan semua sistem ada (untuk mengawal), nak tengok keadaan itu tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)… untuk pastikan mereka ikut, bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga kilang serta ahli komuniti dan sebagainya,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir itu juga menekankan mengenai pentingnya proses vaksinasi dipercepatkan agar keadaan lebih terkawal dan proses penurunan kes positif akan lebih cepat lagi.

“Kita ada beberapa hari lagi sahaja (sebelum 28 Jun). Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) tu boleh turun lagi… bermakna ikut jadual yang kita harapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua… itu keadaannya.

“Jadi disebabkan itu, kita takkan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi, sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya),” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk beralih ke fasa seterusnya memandangkan tinggal enam hari lagi lanjutan tempoh fasa perintah kawalan pergerakan 3.0 yang dijadualkan sehingga 28 Jun ini, dengan kadar kes masih di atas 4,000 kes.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata untuk negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut.

Selain itu, beliau berkata kapasiti katil di ICU juga perlu mencapai paras 75% ke bawah di samping 10% populasi yang telah divaksin.