- Iklan -
Berita

Malaysia rekod vaksinasi lebih 6 juta dos

Vaksinasi harian catat rekod baru semalam sebanyak 235,623 dos sejak ia dimulakan pada 24 Februari lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada penduduk Pangsapuri Pantai Ria dalam trak vaksin yang dijadikan PPV bergerak di Pantai Dalam.Mobiliti vaksin secara bergerak ini membantu golongan B40  terutamanya golongan warga emas yang kurang berpengetahuan dalam penggunaan aplikasi MySejahtera.

Jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam sudah melebihi enam juta dos.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata setakat semalam, seramai 4,384,441 telah menerima dos pertama manakala 1,666,757 individu sudah melengkapkan dos kedua, menjadikan keseluruhan pemberian kedua-dua dos berjumlah 6,051,198.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan lima negeri yang mencatatkan peneriman kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 216,386 diikuti Sarawak (188,289), Johor (176,080), Perak (154,422) dan Kuala Lumpur (145,906).

Mengenai vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Dr Adham berkata sebanyak 235,623 dos diberikan semalam, tertinggi sejak ia dimulakan pada 24 Feb lepas.

Katanya daripada jumlah tersebut,181,840 merupakan penerima suntikan dos pertama manakala 53,783 lagi dos kedua.