- Iklan -
Berita

Sultan perkenan DUN Johor bersidang 12 Ogos depan

Sultan Johor menyatakan rasa sedih melihat penderitaan rakyat negeri itu dan mahu ekonomi negeri dipulihkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Gambar: Bernama
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Gambar: Bernama

Sultan Johor hari ini berkata beliau berkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk mengadakan persidangan pada 12 Ogos 2021.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, pembukaan penggal keempat sidang DUN Johor akan dirasmikannya pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

“Saya mahu semua ahli dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini,” kata beliau menerusi hantaran di laman rasmi Facebook.

Dalam kenyataan yang sama, Sultan Ibrahim turut menyatakan rasa kecewa kerana masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan.

Pagi tadi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor Amir Nasruddin.

Baginda juga turut menerima mengadap Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik di negeri itu.

Dalam sebuah kenyataan 16 Jun lalu, Raja-Raja Melayu bersetuju sidang DUN diadakan secepat mungkin susulan mesyuarat khas bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mereka turut menyokong pandangan Agong yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin dan mengesyorkan perintah darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Pada 18 Jun lalu, Speaker DUN Perlis Hamdan Bahari berkata persidangan DUN Perlis akan diadakan selama tiga hari bermula 24 Ogos depan.