- Iklan -
Berita

Ditinggalkan suami, ibu tunggal Rohingya berdepan cabaran besarkan 2 anak

Mumtaz hanya mampu menumpang di rumah sahabat dan mengharap ihsan masyarakat sekeliling.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Ibu tunggal Pelarian Rohingya Mumtaz Begum Sultan Ahmad menghabiskan waktu mengaji Al-Quran dan berkurung di dalam rumah rakannya sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) di Taman Wilayah Selayang.Mumtaz menumpang berteduh dirumah rakannya selepas ditinggalkan suami sejak 8 bulan lalu.
Ibu tunggal Pelarian Rohingya Mumtaz Begum Sultan Ahmad menghabiskan waktu mengaji Al-Quran dan berkurung di dalam rumah rakannya sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) di Taman Wilayah Selayang.Mumtaz menumpang berteduh dirumah rakannya selepas ditinggalkan suami sejak 8 bulan lalu.

Ketika meninggalkan kampung halamannya di Arakan, Myanmar pada usia 14 tahun, Mumtaz Sultan Ahmad mengharapkan satu permulaan kehidupan yang lebih baik.

Kehidupan wanita itu sebagai warga Rohingya di Myanmar sememangnya perit.

Ahli keluarganya antara mangsa kekejaman rejim junta Myanmar, manakala rumahnya pula dibakar hangus.

Mumtaz bersama adik lelaki dan kakaknya melarikan diri dari Myanmar menggunakan ejen penyeludupan manusia melalui sebuah bot ke Thailand.

Setibanya di Thailand, dia dan 30 lagi warga Rohingya berjalan kaki hingga memasuki sempadan Malaysia.

Di Malaysia, ejen menghantarnya menaiki bas sehingga ke Johor Baru dengan sehelai sepinggang.

Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia hanya menangis seorang diri sebelum dijumpai seorang warga Rohingya yang menetap di situ.

“Saya diambil lelaki itu untuk tinggal bersama saudaranya. Setelah beberapa bulan, dia menyatakan hasrat menikahi saya dan kami pun berkahwin,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia dan suami berpindah ke Melaka dan Kuantan, Pahang untuk mencari pekerjaan sebelum menetap di Selayang, Kuala Lumpur.

Anak sulungnya yang kini berusia enam tahun dilahirkan semasa Mumtaz dan suami berada di Kuantan.

Mumtaz menguruskan kebajikan anaknya di Selayang.
Ibu tunggal berusia 23 tahun ini menumpang di rumah rakannya dan tiada pendapatan.

Kehidupan mereka sekeluarga sejak dari itu tetap mencabar kerana kesukaran mencari pekerjaan.

Beban kehidupan semakin terasa apabila melahirkan anak kedua setahun enam bulan lepas.

Kemuncaknya ialah lapan bulan lalu, apabila suaminya sedang tertekan akibat ketiadaan kerja dan berlaku pergaduhan antara Mumtaz dan iparnya.

“Adik perempuan suami mula menuduh saya macam-macam. Ini kerana suaminya warga Bangladesh yang mendapat kad UNHCR dikesan oleh agensi itu kerana menipu, lalu dia menuduh saya.

“Kami bergaduh besar dan akhirnya suami lafaz talak kepada saya. Suami kahwin lain dengan wanita Indonesia yang dijumpai ketika dia bekerja di Alor Setar, Kedah,” katanya.

Lebih malang, dia terpisah hubungan dengan adik lelaki yang kini tidak diketahui lokasinya.

Dia hanya berhubung dengan kakaknya yang juga bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Hidupnya terumbang-ambing dan dia tidak lagi mampu membayar sewa bilik.

Dia terpaksa keluar dari rumahnya namun bernasib baik kerana diterima untuk tinggal bersama seorang ibu tunggal warga Rohingya yang berkongsi nasib dengannya, Kurban Bi Abdul Malik.

Mereka menyewa di sebuah flat kos rendah di Selayang.

Segala-galanya ditanggung oleh Kurban Bi yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di pasar malam di Selayang dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Kurbanbi baru sahaja diterima bekerja selepas tiada langsung mata pencarian sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagi ibu tunggal Pelarian Rohingya, Kurban Bi Abdul Malik, 42 (tengah) beliau bekerja sebagai tukang sapu di Alam Flora dengan meraih pendapatan RM1000 sebulan, dengan pendapatan itu, dia dan Mumtaz dapat meneruskan hidup sebagai ibu tunggal.

Dia sendiri hanya mampu hidup dengan mencari besi buruk atau barangan terpakai.

Mumtaz kini tidak mampu bekerja dan hanya menjaga dua anaknya dan anak Kurban Bi ketika rakannya itu keluar bekerja.

Dia menjalani pembedahan sebanyak tiga kali yang menghilangkan keupayaannya untuk bekerja.

“Sudah lama kami tiada pekerjaan. Tambahan pula anak-anak saya membesar tanpa pendidikan. Saya hanya mampu mengajar dia mengaji kerana saya sendiri tidak ke sekolah.

“Memang kami hidup atas bantuan orang ramai yang memberi beras, sayur, susu dan pampers, tapi ia bukan penyelesaian jangka masa panjang,” kata Mumtaz yang meluahkan harapan untuk diterima negara ketiga.

“Saya hanya mahu lihat anak saya menerima pendidikan dan menjadi orang berguna untuk masyarakat.”

Selain daripada kos sara hidup, Mumtaz juga perlu mendapatkan ubat-ubatan untuk anaknya. Dia bernasib baik kerana mampu mendapatkan ubat-ubatan dengan murah di sebuah klinik di bawah Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Meskipun sudah tiada lagi peperangan dan ancaman nyawa, namun kehidupan baru Mumtaz tidaklah mudah dan penuh dengan ranjau.