- Iklan -
Berita

Terik mentari, laut, pasir dan sekolah anak-anak di kampung nelayan Sarawak

Ibu bapa melakukan apa yang termampu menyediakan alatan diperlukan untuk pembelajaran di rumah, namun dengan liputan internet yang lemah, mereka berharap langkah drastik diambil.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Anak-anak di Kampung Nyalau, Bintulu di Sarawak terpaksa pergi ke kawasan laut untuk mendapatkan liputan internet yang lebih kuat untuk PdPR.
Anak-anak di Kampung Nyalau, Bintulu di Sarawak terpaksa pergi ke kawasan laut untuk mendapatkan liputan internet yang lebih kuat untuk PdPR.

Ketika kerajaan mengarahkan sekolah ditutup dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah diterapkan ekoran peningkatan kes Covid-19, Zurani Suut dan suaminya Mazlan mengetahui terpaksa melakukan apa sahaja bagi memastikan dua orang anak perempuan mereka dapat mengikuti pelajaran.

Perkara pertama yang dilakukan ialah melakukan perjalanan ke bandar dari kampung kecil mereka di Kampung Nyalau yang terletak di Bintulu, Sarawak bagi membeli telefon pintar untuk anak perempuan sulung yang kini berada di Tingkatan Dua.

“Kami tidak mahu dia ketinggalan dalam pelajarannya,” kata ibu berusia 32 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, belajar dari rumah ketika pandemik memerlukan lebih dari sekadar telefon pintar, mereka menyedari hal ini namun tidak sepenuhnya berkemampuan menyediakan alatan lengkap.

Selain itu, Zurani dan Mazlan juga sedar mereka harus berbelanja lebih banyak.

Sebagai contoh, rumah mereka kini memerlukan pelan internet supaya anak-anak dapat menghadiri kelas maya.

Pendapatan yang diperolehi seorang nelayan seperti Mazlan hanya cukup untuk perbelanjaan harian keluarga mereka.

Maka, bagi menampung perbelanjaan tambahan demi kepentingan anak-anak mereka itu, Zurani membantu suaminya untuk menambah pendapatan dengan membuat dan menjual kuih-muih.

Dengan usaha berjimat-cermat, mereka berjaya bertahan berbekalkan pendapatan Mazlan menangkap ikan selain hasil dari kebun kecil.

Malangnya, apa yang tidak dapat ditangani mereka adalah liputan jaringan internet yang sangat lemah di kampung itu.

Sebilangan jiran yang tinggal di lokasi yang lebih tinggi bernasib baik kerana mempunyai jaringan yang lebih baik.

Namun, tidak bagi Zurani dan keluarganya, sambungan internet yang stabil adalah masalah sukar yang perlu mereka hadapi.

Tidak beralah dengan keadaan itu, selepas beberapa waktu mencari penyelesaian, mereka sedar fikiran mereka harus menjadi lebih kreatif.

Maka, setiap hari, mereka dan anak-anak kampung lain yang tidak dapat mengakses internet dari rumah akan menyiapkan beg sekolah dan menuju ke kawasan pantai.

Walaupun biasanya perjalanan ke pantai ini menawarkan keseronokan untuk untuk berjemur dan bermain di bawah sinar matahari, namun tidak buat mereka ketika ini.

Mereka ke pantai adalah demi urusan yang serius.

Setiap hari, setibanya mereka di pantai, surat khabar ditebar sebagai lapik pasir.

Keluarkan barangan dari beg dan mula mengikuti sesi pembelajaran.

Kawasan lapang pantai yang jauh dari kawasan berpokok memberikan liputan internet jauh lebih kuat dan mereka dapat mengikuti lebih banyak kelas berbanding ketika berada di rumah.

Matahari kemudian bergerak dan tegak di atas kepala mereka, panas mulai terasa.

Namun keluarga itu tetap terus bertahan, menunggu berjam-jam sesi kelas berjalan.

“Biasanya mereka akan berada di pantai selama tiga hingga empat jam,” kata Zurani.

Ketika hari hujan, kehadiran kelas di pantai tidak boleh dilakukan.

Setiap kali ia berlaku, anak-anak Zurani memberitahu guru sekolah mereka tidak dapat hadir kerana cuaca buruk.

“Saya rasa sedih melihat keadaan ini, tetapi pada masa yang sama saya bangga dengan semangat mereka,” kata Zurani.

“Masalah yang dihadapi sekarang adalah liputan internet yang lemah.

“Saya tertanya-tanya mengapa kilang perindustrian boleh dibina di kawasan ini tetapi untuk bina satu menara komunikasi nampaknya begitu sukar dilakukan.”

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Zurani dan suami berharap anak-anak di kampung mereka tidak berputus asa.

Keluarga itu juga berharap akan ada sedikit bantuan dari kerajaan.

“Mana dia kerajaan yang katanya prihatin?

“Sekiranya mereka mengambil berat tentang kami, tolong bantu anak-anak kami ini.”