- Iklan -
Berita

KPKT pastikan operasi syarikat kredit komuniti patuhi undang-undang

KPKT berkata pemantauan berkala akan dilakukan terhadap syarikat kredit komuniti serta siasatan dan pemeriksaan mengejut dijalankan terhadap premis disyaki melakukan kesalahan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana di Jalan Sultan kelihatan lengang dari. PKP 3.0 menyebabkan sektor ekonomi negara berdepan cabaran yang mendesak sekali gus turut menjejaskan pendapatan ramai orang.
Suasana di Jalan Sultan kelihatan lengang dari. PKP 3.0 menyebabkan sektor ekonomi negara berdepan cabaran yang mendesak sekali gus turut menjejaskan pendapatan ramai orang.

Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) akan memastikan pengoperasian sektor kredit komuniti atau pemberi pinjam wang (PPW) berlesen sentiasa mematuhi undang-undang dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Dalam sebuah kenyataan, KPKT berkata pemeriksaan dan pemantauan secara berkala akan dilakukan terhadap syarikat kredit komuniti serta siasatan dan pemeriksaan mengejut dijalankan terhadap premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 400 atau terlibat dengan kesalahan jenayah seperti melakukan penipuan atau kekerasan terhadap peminjam.

Menurut KPKT, usaha bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dijalankan sejak tahun 2006 bagi membendung kegiatan pemberi pinjam wang tidak berlesen atau Ah Long.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, sebanyak 2,177 kertas siasatan berkaitan kes scammer dan 434 kertas siasatan melibatkan kes Ah Long telah dibuka antara Januari dan Mei tahun ini. Pada tahun lepas, siasatan melibatkan scammer ialah 5,709 kes manakala Ah Long sebanyak 1,082 kes.

KPKT berkata Bahagian Kawalan Kredit Komuniti juga sering berhubung dan berkongsi maklumat dengan Bank Negara Malaysia melalui cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) bagi memastikan syarikat kredit komuniti tidak terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram termasuk melakukan operasi seperti Ah Long atau merekrut Ah Long.

Mengambil maklum isu yang dibangkitkan di media sosial berkaitan pengoperasian semula sektor kredit komuniti dalam fasa satu kawalan pergerakan yang dikatakan menggalakkan rakyat untuk berhutang, KPKT berkata pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran dan penerangan kepada orang ramai mengenai hak sebagai peminjam.

“Ini bagi memberi pendedahan dan informasi kepada masyarakat agar melakukan pinjaman wang di syarikat kredit komuniti yang berlesen dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh kerajaan sahaja dan tidak terjerumus dalam perangkap Ah Long,” katanya.

Melalui aplikasi mobil i-KrediKom, orang awam boleh membuat carian syarikat kredit komuniti yang berlesen di Semenanjung Malaysia dan membuat aduan yang berkaitan, katanya.

“KPKT selaku kementerian yang mengawal selia syarikat kredit komuniti sentiasa memastikan hanya pemberi kredit yang layak sahaja dilesenkan. Ini bagi memastikan hak-hak peminjam adalah sentiasa dilindungi dan terjamin,” katanya.

KPKT berkata syarikat kredit komuniti telah beroperasi di Malaysia sejak zaman sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1951 apabila kerajaan mewujudkan ordinan pemberi pinjam wang bagi mewujudkan kawal seliaan terhadap industri tersebut melalui pelesenan dan penguatkuasaan.

Pada 2003, menurut KPKT kerajaan telah mewujudkan Akta 400 dan diletakkan di bawah tanggungjawab KPKT selaku kementerian yang mengawal selia syarikat pemberi pinjam wang berlesen dan nama pemberi pinjam wang telah dijenamakan semula kepada kredit komuniti pada 2019.

“Justeru, sektor kredit komuniti ini telah lama terlibat secara aktif sebagai satu daripada komponen dalam institusi kewangan di negara ini yang turut menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

KPKT berkata syarikat kredit komuniti tidak hanya memberi pinjaman kepada individu berskala mikro semata-mata, namun juga berperanan sebagai satu daripada rantaian dalam sektor perbankan dan kewangan kerana turut memberi pinjaman sebagai modal perniagaan kepada pengusaha perniagaan.

Menurut KPKT berdasarkan kajian, pemerhatian dan maklumat yang diperoleh dari Persatuan PPW, antara faktor orang ramai membuat pinjaman di syarikat kredit komuniti adalah kerana proses dan prosedur pinjamannya lebih mudah berbanding dengan bank atau institusi pinjaman lain yang berdaftar.

“Kebanyakan peminjam individu merupakan golongan yang tidak mendapat akses atau tidak layak mendapat kemudahan pinjaman daripada institusi kewangan serta perbankan dan merupakan kategori ‘underserved’ disebabkan oleh ketiadaan dokumen sokongan untuk menyokong profil pinjaman mereka.

“Proses kelulusan pinjaman yang lebih mudah dengan tempoh yang lebih singkat iaitu sekitar satu hingga tiga hari turut merupakan faktor pinjaman dilakukan dengan syarikat kredit komuniti di samping kadar faedah yang dikawal oleh Akta 400,” kata kementerian itu.

Amaun pinjaman yang fleksibel dan tidak rigid juga antara faktor orang ramai berurusan dengan syarikat kredit komuniti yang berdasarkan rekod, nilai pinjaman terendah adalah serendah RM200, manakala secara puratanya pada setiap tahun terdapat kira-kira 70,000 peminjam melakukan pinjaman di bawah RM1,000.

“Nilai pinjaman ini tidak dapat ditawarkan oleh pihak bank atau institusi kewangan yang lain disebabkan oleh margin keuntungan yang sangat rendah dan tidak dapat dilindungi oleh insurans,” katanya.