- Iklan -
Berita

Industri pelancongan Sarawak terdesak untuk segera capai imuniti kelompok

Pemimpin industri berkata ia adalah langkah utama bagi membolehkan pelancong datang kembali ke negeri itu.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Premis agensi pelancongan di Jalan Main Bazaar di Kuching, Sarawak tutup bermula 1 Jun ketika sekatan peregerakan penuh dilaksanakan. Gambar: Bernama
Premis agensi pelancongan di Jalan Main Bazaar di Kuching, Sarawak tutup bermula 1 Jun ketika sekatan peregerakan penuh dilaksanakan. Gambar: Bernama

Sektor perhotelan yang semakin goyah di Sarawak menggesa kerajaan supaya meningkatkan langkah vaksinasi kerana kedatangan pelancong yang merupakan nadi kepada industri itu untuk terus hidup terus terjejas akibat sekatan perjalanan dan penutupan sempadan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi membendung penularan Covid-19.

Pemimpin industri turut mempersoalkan pandangan yang mengatakan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sahaja sudah cukup membendung penularan virus ketika banyak laporan mengenai kes varian Delta yang lebih mudah menular ditemui di seluruh dunia.

Sharzede Salleh Askor dari Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkata mencapai imuniti kelompok adalah sangat penting ketika ini bagi memastikan keselamatan terjamin di beberapa destinasi pelancongan sebelum sektor itu dibenarkan beroperasi semula.

“Sebelum kita pertimbangkan untuk keluarkan pasport vaksin dan batalkan langkah kuarantin 14 hari, masalah pertama yang perlu ditangani adalah untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar yang lebih segera, terutamanya ketika jumlah kes ketika ini sangat membimbangkan,” katanya.

“Setelah selamat, barulah kita boleh longgarkan sekatan perjalanan bagi yang sudah divaksinasi.”

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada akhir Februari lalu, disusun mengikut fasa: Fasa Satu bagi vaksinasi barisan hadapan negara; Fasa Dua bagi warga emas, orang kurang upaya dan yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi; serta Fasa Tiga bagi yang berumur 18 tahun ke atas.

Dalam pada itu, Fasa Keempat yang dinamakan sebagai Pikas turut diusahakan, program imunisasi perkongsian awam-swasta yang bertujuan memberikan vaksin kepada pekerja sektor swasta.

Ketika ini, kerisauan pemain industri pelancongan adalah peralihan fasa-fasa tersebut dilihat memakan masa, satu perkara yang tidak dimiliki pengusaha-pengusaha hotel.

John Teo dari Persatuan Hotel Malaysia cawangan Sarawak berkata pengusaha hotel terpaksa menangani impak penutupan sempadan dan peraturan-peraturan yang sentiasa berubah berhubung ketibaan pelawat dari luar negeri itu.

“Terlalu banyak perniagaan yang ditutup, kerana tidak ada pendapatan atau pendapatan yang terlalu sedikit sejak wabak ini bermula,” katanya.

“Bagi hotel yang memiliki taraf bintang, lebih dari 120 daripadanya ditutup terus. Hanya hotel-hotel yang terlibat dalam program kuarantin kerajaan sahaja yang mampu bertahan sementara pendapatan melalui ketibaan pelancong asing hampir tiada.”

Teo turut menyuarakan nasib rumah tumpangan yang lebih kecil seperti motel, dan inap desa yang disifatkan langsung “tidak memiliki peluang” untuk meneruskan operasi.

“Perniagaan berkaitan pelancongan seperti agensi pelancongan, pemandu bas dan teksi, pemandu Grab, orang-orang yang mengurus lokasi pelancongan, pusat membeli-belah yang menjalankan perniagaan pemandu pelancongan, pekedai, kedai kopi, kedai makan, bar, bistro, pusat karaoke, kelab malam dan banyak lagi – kesemua mereka tak dapat bertahan untuk meneruskan operasi setelah berbulan-bulan pelancong asing tidak dibenarkan memasuki negara ini,” katanya.

Katanya, walaupun pemain industri pelancongan masih bertahan, mereka terpaksa mengeluarkan wang bagi menampung kos seperti utiliti dan gaji pekerja.

Berdepan keadaan itu, beberapa pengusaha hotel kecil lebih suka menutup operasi, katanya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Teo bersetuju usaha membendung penularan virus adalah perkara yang wajib dilaksanakan demi keselamatan orang ramai.

Namun, dia berkata kebanyakan yang menghadapi kesukaran ketika ini untuk meneruskan operasi lebih sanggup berdepan berdepan dengan wabak itu daripada terus bergelut dengan kehidupan ekoran tiada pendapatan.

“Kami faham kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencegah virus ini,” katanya.

“Memang tiada pilihan lain selain melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat dengan harapan kadar jangkitan menurun.

“Tetapi mereka juga perlu mempertimbangkan permintaan daripada kumpulan selain daripada sektor penjagaan kesihatan juga. Mereka perlu dengar pengusaha perniagaan ini dan cari jalan untuk bantu. Pengusaha perniagaan ini harapkan bantuan daripada kerajaan, dengan harapan perniagaan dapat disambung semula dengan SOP ketat. ”

Sharzede turut berakata STB juga turut merasakan impak pandemik ketika ini selepas keputusan Sarawak untuk menghentikan Rainforest World Music Festival (RWMF) bagi tahun kedua berturut-turut.

RWMF biasanya menerima kemasukan lebih dari 25,000 pengunjung dari luar negeri ke festival muzik Sarawak bagi acara tiga hari itu.

Pada 2019 ia mencatat 23,650 pengunjung, 60% daripadanya adalah rakyat Malaysia. Penganjuran festival itu turut meningkatkan hasil ekonomi Sarawak dengan menjana RM46 juta dengan pendapatan keuntungan bernilai RM7.9 juta.

Sharzede berkata, penganjuran Festival Jazz Borneo Sarawak (BJF) juga berjaya menghasilkan sekitar RM7 juta.

“Walaupun kami melancarkan senarai playlist RWMF dan BJF 2020, pendapatan yang seharusnya diperolehi dari kedua-dua acara itu jauh lebih rendah,” katanya.

Sherzede turut menambah pemain besar industri seperti STB mungkin dapat bertahan.

Namun, katanya, tanpa bantuan daripada kerajaan, syarikat pelancongan kecil akan terpaksa menggulung tikar ketika berdepan Covid-19.

Tanpa mengira ukuran perniagaan, ketika ia melibatkan penjanaan pendapatan, semua organisasi akhirnya harus bergantung dengan kedatangan pengunjung, yang akan tetap kurang selagi pelaksanaan langkah pencegahan pandemik terus dikuatkuasakan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.