- Iklan -
Berita

Mahkamah benar saman pengundi Gombak, tidak gugurkan pembelaan libat tuduhan salah laku seksual Anwar

Mahkamah Tinggi tetapkan pendengaran kes Jun tahun depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak untuk menggugurkan tuduhan salah laku seksual melibatkan presiden PKR Anwar Ibrahim yang menjadi sebahagian daripada pembelaan Mohamed Azmin Ali terhadap saman yang diajukan sekumpulan pengundi Gombak.

Hakim Akhtar Tahir pada masa sama menolak permohonan menteri kanan itu untuk membatalkan saman 10 individu itu dan menetapkan tarikh perbicaraan pada Jun tahun depan.

10 orang yang merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Gombak dimenangi Azmin pada Pilihan Raya Umum 2018 mengemukakan saman terhadapnya pada November tahun lalu, mendakwa beliau melanggar tugas fidusiari melalui “Langkah Sheraton” sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari tahun lalu.

Pihak plaintif menuntut antara lain pengisytiharan Azmin menipu mereka semasa pilihan raya dan melanggar tugasnya untuk mewakili mereka.

Dalam kenyataan pembelaannya, Azmin antara lain berkata keputusannya untuk keluar dari PKR adalah kerana beliau merasakan Anwar tidak layak memimpin PKR atau menjadi perdana menteri.

Azmin juga berkata beliau bersedia untuk mendedahkan bukti-bukti yang terhadap Anwar yang tidak pernah dikemukakan sebelum ini.

Peguam yang mewakili plaintif, N Yohendra berkata dalam sebuah pesanan WhatsApp kepada media berkata Akhtar telah menetapkan tarikh 7, 8, 9 dan 10 Jun tahun depan bagi pendengaran kes dan 7 April 2022 bagi pengurusan kes.

Azmin memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman yang diajukan pada 12 Mac lalu di atas dasar saman tersebut tidak mengemukakan alasan munabah dalam saman mereka, selain menyifatkan ia sebagai fitnah, tuduhan melulu, dan merupakan salah guna proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut berkata saman itu melanggar hak asasinya untuk bebas berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan