- Iklan -
Berita

Penularan video bunuh diri boleh undang peniru, kata KP kesihatan

Masyarakat diminta tidak menularkan video bunuh diri bagi menjaga sensitiviti dan menghormati keluarga si mati.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Masyarakat diminta untuk lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Justeru, katanya adalah penting mengenal pasti perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling, dan menyalah guna alkohol dan dadah.

Selain itu, simptom awal kemurungan pula adalah seperti menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga di samping menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

“Sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu perlu mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan tertekan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Malah, katanya sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 kes pada 2019 dan sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Dr Noor Hisham berkata orang ramai boleh membantu dengan berkomunisasi secara berkesan dengan individu yang mengalami kemurungan, antaranya seperti mengambil serius tentang masalah yang dialami, meluangkan masa untuk mendengar luahan, tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka, menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat bagi mengekalkan perhubungan dengan individu berkenaan, memberikan sokongan sosial seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan, dan menggalakkan serta membantu kumpulan itu mendapatkan penilaian dan rawatan profesional.

Dr Noor Hisham berkata pihak media juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan mematuhi Garis Panduan Pelaporan Media Yang Bertanggungjawab yang dikeluarkan Bahagian Kawalan Kementerian Kesihatan tentang tingkah laku bunuh diri.

“Masyarakat juga diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video ataupun mengedarkan gambar di media sosial tentang individu yang membunuh diri.

“Bunuh diri boleh dicegah, namun tindakan viral di media sosial boleh mengundang ‘copycat suicide’ (peniru bunuh diri) bagi mereka yang berisiko,” katanya menambah setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik Covid-19.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392; Talian Kasih 15999 / Whatsapp Talian Kasih di 019-2615999 (bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan); KSK-Care JAKIM di Whatsapp 0111-9598214 dan Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan individu yang menghadapi masalah dan terkesan dengan pandemik perlu mendapatkan pertolongan serta tidak menghadapinya seorang diri.