- Iklan -
Berita

Undang-undang bukan begitu, bekas ketua hakim jawab gesaan peguam negara dipecat

Abdul Hamid Mohamad berkata peguam negara harus menyatakan pandangannya mengenai undang-undang walaupun tidak memihak kepada Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.

Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad mempertikaikan tuduhan-tuduhan dilemparkan terhadap peguam negara yang mendakwanya menderhaka kerana menjelaskan Agong tertakluk kepada nasihat perdana menteri dalam melaksanakan tugas rasminya.

Hamid yang bersara dari jawatan ketua hakim negara pada 2008 selepas 50 tahun perkhidmatannya dalam bidang kehakiman menjelaskan kenyataan-kenyataan pemimpin pembangkang termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menggesa pemecatan Idrus Harun dan menuduh beliau memperkecil dan menderhakai titah Agong kerana memberikan pandangan dalam perbahasan mengenai pembukaan semula Parlimen.

“Nampaknya, kata-kata menghina, memperkecil, tidak menghormati dan menderhakai Yang di-Pertuan Agong telah diberi makna sangat luas sehingga peguam negara yang memberi pandangan rasmi mengenai peruntukan undang-undang dan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong pun dianggap menghina, memperkecil, tidak menghormati dan menderhakai baginda.

“Maka, untuk mengelaknya, setiap kali peguam negara memberi nasihat atau ditanya oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai sesuatu isu undang-undang, peguam negara kenalah memberi pandangan yang meluaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong atau, dalam kata lain, yang menyebelahi baginda,” kata Hamid dalam respons terbarunya terhadap kecaman pemimpin utama Pakatan Harapan terhadap Idrus Harun.

Hamid mengingatkan istana juga sebelum ini turut mengeluarkan pandangan sejajar dengan pandangan peguam negara, memetik kenyataan media Istana Negara pada Februari lalu yang mengatakan Agong boleh memanggil sidang Parlimen ketika tempoh darurat “berkuatkuasa pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.”.

“Maka, bagaimana ia boleh dikatakan melampau, menghina dan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong; bahawa ia adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera; bahawa ia melanggar kebiasaan; tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong; dan ‘memperkecil’ kuasa Yang di-Pertuan Agong?” soal Hamid.

Beliau berkata pengkritik-pengkritik peguam negara dilihat cuba mengatakan sebarang nasihat yang ditawarkan kepada Agong mesti memihak kepada baginda, jika tidak ia boleh dianggap menderhaka.

Hamid memetik sebuah perbicaraan di Mahkamah Khas pada 2008 yang keputusannya tidak memihak Yang di-Pertua Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman dalam perbicaraan melibatkan sebuah bank komersial.

Hamid mempersoalkan adakah hakim-hakim dalam kes tersebut juga melakukan kesalahan menderhaka kepada raja kerana tidak membuat penghakiman memihak Raja Negeri Sembilan itu.

“Undang-undang bukanlah begitu,” tambahnya.

Sebelum ini, Hamid dan ahli akademik Shamrahayu Abdul Aziz yang merupakan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara menulis sebuah artikel menjelaskan hak-hak dan ruang lingkup tugas Agong dalam sistem raja berperlembagaan ketika debat mengenai gesaan Raja-Raja Melayu supaya Parlimen bersidang secepat mungkin tercetus.

Mereka turut menjelaskan artikel yang ditulis itu adalah bertujuan akademik dan bukan mempunyai tujuan politik.

Hamid turut menambah hujah yang mengatakan perdana menteri tidak memiliki majoriti sokongan ahli Parlimen bukan alasan untuk tidak mengendahkan peruntukan Perlembagaan.

“Mungkin itu hujah politik yang menarik pengundi, tetapi ia bukanlah suatu hujah undang-undang sama ada Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat peguam negara atau tidak.

“Selagi seseorang itu menduduki jawatan perdana menteri, semua peruntukan Perlembagaan dan undang-undang berkenaan dengannya terpakai kepadanya,” tambahnya.

“Hanya apabila dia meletak jawatan secara sukarela, hilang kelayakan mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong melantik seorang lain yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti oleh ahli-ahli Parlimen, sama ada selepas Pilihan Raya Umum atau tidak, barulah dia tidak lagi menjadi perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong tidak perlu mengikut nasihatnya lagi,” kata Hamid.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.