- Iklan -
Berita

Kurang 10% kes libatkan tempat kerja di Selangor, menurut statistik KKM

Statistik KKM bertentangan dengan dakwaan menteri besar Selangor yang mengatakan majoriti kes di negeri itu berkait dengan tempat kerja.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Menurut perincian statistik diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, tempat kerja menyumbang kurang dari 10% kes Covid-19 di Selangor.

Pemeriksaan terhadap angka statistik setakat seminggu lalu termasuk hari ini menunjukkan kes berpunca dari tempat kerja di Selangor adalah rendah berbanding kluster komuniti di negeri itu.

Sampel angka dari 24 Jun menunjukkan daripada keseluruhan 18,588 kes sepanjang lapan hari lalu, hanya 1,416 kes baru direkodkan berasal dari tempat kerja atau sekitar 7.6% daripada keseluruhan kes.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan mendakwa sebanyak 91% daripada jumlah kluster di negeri itu adalah berkaitan tempat kerja.

Dakwaan menteri besar itu kemudiaannya turut disusuli dengan penularan beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan seolah-olah Noor Hisham menyokong dakwaan Amirudin tersebut.

Noor Hisham masih belum memberikan respons beliau mengenai perkara ini ketika dihubungi MalaysiaNow.

Pihak berkuasa hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) melibatkan hampir 50 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur susulan kes harian Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan selepas sebulan “lockdown” dilaksanakan.

Selangor mencatatkan kes harian tertinggi setiap hari, menyebabkan persoalan timbul sama ada negeri itu menjadi punca kesulitan kepada negeri lain yang memiliki kadar jangkitan rendah akibat sekatan pergerakan penuh di seluruh negara yang mula dilaksanakan awal bulan lalu.