Burung helang yang berlegar dan hilaian ungka kedengaran di sekitar Tasik Chini tatkala Abang menebarkan jalanya dari atas bot kecilnya.
Kehijauan hutan dan angin lembut yang bertiup perlahan menemani lelaki itu ketika dia kemudian menyusuri batas pandan di sekitar tasik untuk memeriksa pukatnya pula.
Abang, lelaki suku Jakun itu sudah menyara kehidupannya dengan menjala ikan sejak umurnya lima tahun.
“Sambil-sambil menjala ikan, ada juga saya menoreh getah di kebun keluarga,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui.
Dahulunya Abang menggunakan perahu tradisional.
Menginjak ke zaman yang lebih moden Abang kini menggunakan bot berenjin untuk menangkap ikan.
Dia dan beberapa keluarga Orang Asli lain bergantung kepada tasik itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan, selain hutan berhampiran.
Antara spesis ikan yang ditangkap ialah baung, semalau, kelabau dan toman.
Namun, dari segi saiz dan jumlah, tangkapan ikannya semakin tidak memberangsangkan sejak sedekad lalu, apabila aktiviti perlombongan mula berjalan.
“Dahulu kita boleh tangkap banyak ikan.. saiznya pun besar, tapi sekarang seminggu dalam berbelas ekor sahaja, itupun kecil,” katanya.
Abang menangkap ikan untuk dimakan keluarganya. Jika ada lebih, dia akan menjual kepada orang kampung.
Selain mata pencarian, aspek pelancongan yang sudah teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 juga dikhuatiri menjadi lebih buruk sekiranya ekosistem tasik terus dibiarkan merudum.
Pak Karim, seorang pengusaha bot dari Tanjung Puput berkata beberapa aktiviti perlombongan yang berlaku berhampiran tasik mencacatkan pemandangan sekeliling.
“Kita risau sekiranya pelancong tidak lagi mahu ke sini kerana keindahan tasik sudah tidak ada.
“Air tasik ini juga sudah semakin keruh akibat sedimen. Dahulu kita boleh mandi dan minum air tasik, sekarang tidak boleh lagi,” katanya yang sudah setahun kehilangan pendapatan akibat ketiadaan pelancong susulan pandemik Covid-19.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, Pak Kasim juga kehilangan mata pencarian sebagai pengusaha bot tambang yang membawa murid-murid ke sekolah apabila sekolah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Kecantikan Tasik Chini yang terkenal dengan lagenda naga itu bukan sesuatu yang asing.
Menurut Pak Karim, ramai juga pelancong dari negara luar yang dibawanya menaiki bot mengelilingi tasik itu dan melawat kampung-kampung Orang Asli.
Namun, keindahan Tasik Chini dan kelangsungan sumber ekonomi mungkin hanya bakal menjadi rekod lampau, apabila tasik itu semakin mengecil dan keruh akibat aktiviti perlombongan dan pembalakan.
Menurut Maketab Mohamad yang menjalankan kajian di tasik itu selama 30 tahun, ekosistem Tasik Chini sebenarnya mula merosot dengan pembinaan sebuah empangan pada tahun 1995.
“Isu yang mula-mula timbul ialah pembinaan empangan di Kuala Sungai Chini yang berkait dengan kawalan air di Tasik Chini. Ramai Orang Asli mengeluh kerana kualiti air terkesan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Empangan itu dibina atas alasan mengelakkan air kering, namun kata Maketab, alam semula jadi mempunyai sistem yang mampu menjaga diri sendiri. Banyak pokok jambu air mati kerana tenggelam di dalam aiar terlalu lama.
“Timbul juga isu lombong namun ketika itu hanya ada satu lombong. Aktiviti perlombongan ini turun naik mengikut permintaan pasaran terhadap bijih mangan dan besi yang dilombong di sini.
“Apabila lombong-lombong ini wujud, patutnya ada kawalan mengikut metodologinya, namun isunya ialah penyelenggaraan. Seberapa ikhlas mereka nak selenggara lombong,” katanya.
Katanya, penyelenggaraan yang tidak dilakukan dengan baik akan menyebabkan pepejal dan sedimen dari tapak lombong masuk ke tasik. Perkara ini diperhatikan sendiri oleh Pak Karim.
Katanya, masalah timbul apabila banjir berlaku yang mana air dari tasik melimpah ke lombong tasik, sekali gus menarik semua kekotoran dan pepejal daripada tapak lombong.
“Kalau air nak surut pun, kurang-kurang ambil masa satu bulan. Nak tunggu satu bulan, banyak keladak yang dibawa ke tasik,” katanya.
Selain kualiti air, Maketab berkata saiz dan kedalaman tasik juga dikesan semakin mengecil dan cetek berbanding dahulu.
Mengikut satu “modelling”, dia berkata kelangsungan Tasik Chini hanya mampu bertahan selama berbelas tahun sebelum “turun status” kepada paya dan seterusnya kering.
Usaha pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan negeri justeru tepat pada masanya, namun memerlukan pemantauan.
“Penanaman semula pokok perlu istiqamah, bukan sekadar untuk tatapan media sahaja. Sebelum ini kami tanam di tempat yang bukan ‘hostile’ (tidak asidik) pun ambil masa lima tahun… kena pantau apa jadi dalam lima tahun kemudian lihat apa jadi,” katanya merujuk kepada usaha kerajaan negeri untuk menanam pokok dan tanaman tutup bumi di kawasan yang terjejas.
MalaysiaNow difahamkan sebelum ini ada tapak tanaman semula yang dihancurkan aktiviti perlombongan.
Terdapat 14 lombong lesen lombong yang diluluskan dan hanya dua yang masih belum tamat tempoh. Meskipun penamatan lesen itu merupakan khabar baik untuk orang Asli, difahamkan pelombong akan menjadi lebih agresif dalam mencari bijih ketika lesen hendak tamat.
Bagi tok batin Orang Asli Kampung Gumum, Awang Alok, dia berharap agar aktiviti perlombongan dihentikan terus.
“Kalau dah tamat lesen mereka, biarlah tamat terus, jangan sambung lagi. Itu memang harapan saya.
“Malam-malam pun mereka bekerja juga, mengganggu kehidupan kami,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.