Unicef hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung beberapa laporan berkait tindakan bunuh diri dalam kalangan orang muda di Malaysia ketika langkah-langkah membendung pandemik Covid-19 dilaksanakan di seluruh negara.
Dalam sebuah kenyataan, wakil Unicef di Malaysia Rashed Mustafa Sarwar memetik angka daripada pasukan polis yang menunjukkan sebanyak 872 orang melakukan tindakan bunuh diri dari Januari 2019 hingga Mei 2021.
Sebanyak 1,708 kes bunuh diri sepanjang tempoh tersebut dan 51% daripadanya terdiri dari kes bunuh diri kalangan kanak-kanak berusia 15 tahun hingga 18 tahun.
“Langkah membendung pandemik Covid-19 seperti lockdown memberikan kesan negatif terhadap kesihatan mental ramai orang termasuk golongan muda,” katanya.
“Lockdown yang terus berpanjangan menyebabkan golongan muda kurang hubungan sosial yang merupakan aspek penting dalam tempoh usia itu.
“Kanak-kanak tidak lagi bersekolah dan mereka ketinggalan dalam pembelajaran dan hubungan sosial yang penting. Ibu bapa mereka pula mungkin kehilangan kerja menyebabkan stres bertambah. Lebih ekstrem lagi, anak-anak ini terpaksa tinggal dengan pendera.”
Beliau turut menambah kebimbangan mengenai kesihatan mental sudah berlarutan dan tidak diendahkan, katanya, intervensi segera sangat diperlukan untuk meluaskan khidmat kesihatan mental kepada golongan muda di sekolah dan komuniti.
Hari ini, dalam sebuah kenyataan, polis berkata 609 kes bunuh diri telah direkodkan pada 2019, sementara 631 kes pada 2020 dan 468 kes pada 2021 dari Januari hingga Mei lalu – dengan purata sebanyak 2 kes sehari dari 2019 hingga Mei 2021.
Dari sudut jantina, rekod menunjukkan kes dilakukan oleh 281 lelaki dan 1,427 perempuan.
“Majoriti dari kes-kes tersebut – sebanyak 872 – adalah terdiri daripada mereka yang berusia 15 hingga 18 tahun sementara 668 lagi dari usia 19 hingga 40 tahun,” kata kenyataan polis tersebut.
Rashed yang merupakan wakil Unicef di Brunei, berkata angka tersebut adalah satu penggera untuk masyarakat sedar isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diutamakan di Malaysia.
“Ia adalah perkara mengenai hidup dan mati; sudah masanya ia dilihat demikian,” katanya.