- Iklan -
Berita

‘Walk out’ jalan akhir sekiranya tuntutan tidak dipenuhi, kata penganjur ‘Hartal Doktor Kontrak’

Tindakan akan dilakukan sekiranya perbincangan dengan pihak-pihak terlibat temui jalan buntu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan awam yang menjadi barisan hadapan negara berdepan risiko setiap hari. Hampir 23,000 doktor kontrak dilaporkan sedang berkhidmat dengan kumpulan paling senior mula berkhidmat pada 2016. Gambar: AP
Petugas kesihatan awam yang menjadi barisan hadapan negara berdepan risiko setiap hari. Hampir 23,000 doktor kontrak dilaporkan sedang berkhidmat dengan kumpulan paling senior mula berkhidmat pada 2016. Gambar: AP

Gerakan “Hartal Doktor Kontrak” mahu mengadakan “walk out” dari tempat kerja sekiranya kerajaan tidak memberikan sebarang respons dan penyelesaian dalam masa 26 hari terhadap permasalahan yang dihadapi mereka, kata salah seorang penganjur.

Menurut seorang doktor kontrak yang terlibat dalam gerakan itu yang ingin dikenali sebagai Dr Wan, tindakan mereka melaksanakan “walk out” itu akan dilakukan di semua hospital di seluruh negara pada satu hari ditetapkan akan tetapi enggan mendedahkannya.

“Gerakan hartal ini bermula dari awal Jun di laman Facebook. Ada pungutan suara untuk mengadakan hartal. Ia bukan untuk memberi amaran, tetapi satu ‘wake-up call’ kepada kerajaan untuk memberi respons terhadap keperluan kami,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dr Wan berkata, tindakan itu merupakan fasa terakhir selepas memorandum dan sesi libat urus diadakan bersama kerajaan, hospital dan persatuan berkaitan.

“Ideanya ialah pada hari yang ditetapkan, doktor-doktor kontrak ini diajak untuk tidak bekerja supaya kerajaan sedar kepentingan peranan yang dimainkan doktor kontrak,” katanya.

Beliau mendakwa setakat ini belum ada doktor kontrak yang dikenakan tindakan, akan tetapi ugutan dan ancaman dikeluarkan jabatan kesihatan negeri kepada mereka.

Seramai lebih kurang 23,000 doktor kontrak dilaporkan sedang berkhidmat dengan kumpulan paling senior mula berkhidmat pada tahun 2016.

Beliau berkata, kontrak doktor yang memulakan perkhidmatan pada tahun itu tamat pada hujung tahun ini namun kerajaan masih belum memberikan kata putus mengenai status mereka.

“Sepatutnya 70% diserap sebagai doktor tetap, tetapi sehingga kini hanya lebih kurang 700 sahaja yang diserap,” katanya.

Katanya, gerakan itu kini mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan fraterniti kesihatan, termasuk doktor senior, pakar dan konsultan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam satu sidang media pada 30 Jun mengatakan isu doktor kontrak yang belum diserap akan dibawa ke Kabinet.

“Kertas kerja disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti,” kata Adham.

Difahamkan, pasukan media sosial gerakan “Hartal Doktor Kontrak” belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Adham.

Sementara itu, doktor kanan yang berkhidmat bersama kementerian kesihatan, Dr Rafidah Abdullah menyatakan solidaritinya bersama gerakan tersebut.

Sambil menyifatkan tindakan mengugut doktor kontrak sebagai pengecut, Rafidah berkata tiada salahnya mengambil pandangan semua orang dan mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui semua.

“Ada lebih 23000 pegawai perubatan kontrak: saya nak ketelusan berapa peratusan yang dapat tetap dari masa ke semasa. Juga saya nak lihat ketelusan pemilihan ke jawatan tetap. Apa kriteria dan bagaimana ia dibuat,” menurutnya dalam satu bebenang di Twitternya.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun masih belum berjaya.