- Iklan -
Berita

Pakar pendidikan beri amaran ‘generasi hilang’ berlaku ketika murid miskin sukar belajar dalam talian

Keluarga miskin atau luar bandar kurang kemudahan untuk mengikuti pembelajaran dari rumah dengan teratur, sementara ramai yang lain kehilangan semangat.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar di pedalaman dan daripada keluarga B40 tidak memiliki kemampuan untuk akses peranti digital bagi keperluan PdPR. Gambar: Bernama
Pelajar di pedalaman dan daripada keluarga B40 tidak memiliki kemampuan untuk akses peranti digital bagi keperluan PdPR. Gambar: Bernama

Pakar pendidikan memberi amaran tentang “lost generation” atau generasi hilang dalam kalangan murid yang keciciran pelajaran kerana kekurangan sumber walaupun kelas dalam talian dan pembelajaran dari rumah sudah menjadi sebahagian daripada norma pandemik Covid-19 ekoran sekatan pergerakan bagi membendungnya.

Charis Ding dari Persatuan Literasi Anak Malaysia, atau MYReaders, memetik satu kajian yang dilakukan Untuk Malaysia, mengatakan lebih 1,000 murid tidak mengikuti sekolah dalam beberapa hari pada Januari.

Hampir 80% daripada mereka berasal daripada keluarga B40 atau 40% golongan bawahan.

Sementara itu, pada 2018, Program Penilaian Pelajar Antarabangsa atau Pisa mendedahkan bahawa 46% murid Malaysia yang diuji pada usia 15 tahun tidak boleh membaca pada tahap yang diperlukan bagi penyertaan yang lebih berkesan dalam masyarakat.

“Adalah sangat membimbangkan apabila sebilangan besar kanak-kanak yang keciciran pendidikan pada tahun-tahun kritikal di awal perkembangannya, dan ia akan mempengaruhi kehidupan mereka dan memberi kesan kepada masyarakat,” kata Ding.

Sekolah-sekolah di Malaysia menjalankan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sejak penggal baru bermula pada pertengahan Jun tahun lalu.

Namun, keputusan penutupan sekolah diumumkan sekali lagi oleh kerajaan susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, kementeriannya akan memaklumkan ibu bapa dan murid mengenai langkah seterusnya sekurang-kurangnya seminggu sebelum sesi persekolahan berikutnya dimulakan.

Ding berkata wabak Covid-19 mendedahkan jurang ekonomi yang sudah lama wujud dalam masyarakat di mana pelajar daripada golongan terpinggir kekurangan akses pendidikan berbanding orang lain.

“Kanak-kanak daripada golongan miskin atau luar bandar, pelarian, atau kanak-kanak berkeperluan khas paling ramai terjejas akibat jurang ini kerana perbezaan peluang dan sumber pendidikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Disebabkan wabak ini, keadaan mereka ini menjadi lebih buruk akibat tidak mendapat pembelajaran signifikan atau terus berhenti sekolah kerana tidak memiliki akses internet atau peranti digital bagi mengakses pembelajaran dalam talian.”

Selama pandemik Covid-19, katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih besar untuk menyokong ibu bapa dan membantu anak-anak mereka belajar dari rumah, lebih-lebih lagi apabila wujud ibu bapa yang mengatakan anak-anak seolah-olah hilang motivasi.

Dia mencadangkan hubungan antara guru dan ibu bapa yang akrab bagi menjadikan golongan ibu bapa terus memantau tahap pembelajaran anak-anak dan tahu cara-cara untuk membantu murid dalam pembelajaran.

Ding turut berkata hal ini boleh dilakukan dengan menyediakan sumber-sumber pembelajaran melalui platform yang lebih mudah diakses seperti WhatsApp, SMS atau panggilan telefon.

“Peranan ibu bapa sangat penting ketika ini bagi menyokongan murid mengejar semula pembelajaran mereka walaupun selepas sekolah dibuka semula,” katanya.

“Pandemik menunjukkan ibu bapa mesti dianggap sebagai faktor utama dalam pembelajaran anak-anak dan kerjasama antara guru dan ibu bapa adalah sangat penting dalam mendapatkan pendidikan berkualiti.”

Pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia Azlin Norhaini Mansor bersetuju pelajar B40 jelas menjadi golongan paling teruk terjejas sepanjang pandemik dari sudut pendidikan.

Beliau berkata ketidakmampuan mereka untuk hadir kelas dalam talian adalah kerana tidak memiliki peranti digital.

Malahan katanya, ada juga kes di mana murid sendiri tidak hadir kelas kerana sudah hilang minat untuk belajar.

“Daripada pengalaman saya, ramai murid yang menolak untuk menyertai kelas kerana mereka sudah hilang minat,” katanya sambil menambah masalah paling besar adalah “kelesuan pandemik”.

Azlin mencadangkan murid-murid ini ditawarkan penempatan di kolej komuniti dan vokasional bagi menggalakkan minat belajar.

“Pelbagai pihak perlu kerja bersama bagi memastikan mereka diberikan peluang kedua, walaupun hanya dengan sijil kemahiran,” katanya.

Seorang lagi guru dari Selangor yang tidak mahu dinamakan berkata tidak ada sesiapa pun, sama ada kerajaan, guru, ibu bapa atau murid memiliki persediaan untuk berdepan dengan pandemik.

Dia memuji Digital Learning Platform atau DELIMa yang diperkenalkan kementerian pendidikan untuk menyokong pembelajaran dalam talian sejak sebelum krisis Covid-19 melanda negara.

Namun beliau berkata kerajaan gagal menyediakan kemudahan yang baik untuk murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, katanya, memang sukar untuk membandingkan impak pembelajaran fizikal dan dalam talian, walaupun semua murid memiliki kemudahan yang diperlukan.

Akibat situasi yang ada ketika ini, dia meramalkan akan muncul “lost generation” dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

“Impak ini lebih besar dalam kalangan murid prasekolah dan rendah, kerana mereka sudah hilang kesempatan untuk belajar secara bersemukadalam tahun awal perkembangan mereka,” katanya.

Sementara bagi pelajar sekolah menengah dan pengajian tinggi, katanya, mereka juga akan terkena impak negatif jangka pendek seperti kekurangan penguasaan pelajaran dan gred pelajaran menurun.

“Guru sekolah menengah akan datang dan pensyarah universiti perlu susun keperluan mereka ini, dan perlu bekerja keras untuk tampung kekurangan pengalaman pelajar ini,” tambahnya.

Dia juga menggesa kerajaan untuk meningkatkan latihan guru, lebih-lebih lagi dalam memajukan cara pengajaran yang lebih inovatif.

Dia turut berkata latihan kandungan itu harus mudah, interaktif dan boleh diakses dalam satu platform.

“Ketika ini, wujud inisiatif yang baik oleh jabatan pendidikan negeri dan daerah, namun inisiatif ini tidak disusun dan dipusatkan.”

Menurutnya lagi, bukan murid sahaja yang memerlukan sokongan bagi berdepan dengan krisis ini.

“Kami juga perlu mentor dan coaching bagi membantu kami berkenaan pengajaran online dan strategi mengajar,” katanya.