- Iklan -
Berita

Lebih banyak negeri berpotensi beralih Fasa 2 PPN, kata PM

Beberapa negeri dikenal pasti menunjukkan perkembangan yang baik dalam mencapai nilai ambang peralihan PPN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tukang gunting rambut memotong rambut pelanggan sewaktu perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tahun lalu.
Tukang gunting rambut memotong rambut pelanggan sewaktu perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tahun lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beberapa buah negeri lagi telah menunjukkan perkembangan baik dalam melawan Covid-19 dan akan menyertai lima negeri lain dalam peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat,” katanya.

Antara negeri yang diumumkan beralih ke Fasa Dua hari ini dalam PPN termasuk Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Di Fasa Dua Hari, lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi termasuk kedai komputer dan telekomunikasi, peralatan elektrik, perkhidmatan mencuci kereta dan kedai gunting rambut.

Tiga indikator utama dalam piawaian nilai ambang untuk peralihan ke Fasa Dua adalah kes harian berkurangan hingga bawah 4,000, kapasiti hospital dan katil wad ICU yang sederhana dan 10% populasi menerima suntikan lengkap vaksin.

Muhyiddin berkata mesyuarat MKN yang dipengerusikan beliau dari hospital hari ini turut membincangkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan yang dikuatkuasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini.”