- Iklan -
Berita

Pendedahan: Apa yang dikatakan pemimpin Umno dalam mesyuarat MKT

Ramai yang beri peringatan tiada jaminan perdana menteri dari Umno akan selesaikan semua masalah dihadapi negara ketika ini.

MalaysiaNow
6 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja tertinggi Umno semalam. Gambar: Bernama
Presiden Umno ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja tertinggi Umno semalam. Gambar: Bernama

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam menyaksikan ramai dalam kalangan pimpinan yang menyuarakan persetujuan dengan langkah Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik kembali sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun pertengkaran berlaku apabila sesetengah pemimpin kanan menyuarakan bantahan mereka.

Antara yang lantang menentang tindakan Zahid adalah pemimpin Umno Kelantan Alwi Che Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selain Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican, Noh Omar dan Bung Moktar Radin.

MalaysiaNow yang menerima butiran-butiran mengenai apa yang dibincangkan sepanjang mesyuarat empat jam tersebut boleh mengesahkan Zahid dengan jelas memberikan kebenaran kepada ahli-ahli Parlimen Umno untuk kekal dalam kerajaan, walaupun beliau sendiri menggesa Umno untuk menarik kembali sokongan kepada Muhyiddin.

Presiden Umno itu bagaimanapun gagal untuk menjelaskan kelonggaran yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen Umno ketika membacakan kenyataan pada sidang media awal pagi tadi yang mengumumkan penarikan sokongan secara serta-merta terhadap Muhyiddin.

“Siapakah PM baru yang akan dipilih? Kita memutuskan bahawa Umno harus menjadi kerajaan. Calon dari Umno harus dipilih. Kaedah bagaimana pemilihan ini dilakukan, kita akan adakan perbincangan khas nanti,” kata Zahid dalam mesyuarat yang dihadiri secara fizikal dan maya oleh 55 dari 56 ahli MKT Umno.

Pemimpin Umno Kedah Mahdzir Khalid sahaja yang tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana kurang sihat.

Zahid berkata 53 dari 56 ahli MKT menyokong cadangan “tidak melibatkan” parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional dan menambah sebahagian daripada mereka menyokong langkah tersebut dengan beberapa syarat.

Ucapan Zahid kemudian disusuli dengan ucapan timbalannya, Mohamad Hasan, yang merupakan antara pemimpin Umno yang mahukan parti itu “mendominasi” kerajaan.

Mohamad berkata Umno harus menarik sokongannya terhadap Muhyiddin namun pada masa yang sama langkah itu tidak boleh menyebabkan kerajaan ketika ini jatuh.

“Saya rasa kerajaan kena diterajui semula oleh Umno,” kata Mohamad.

“Dasar parti Umno (adalah) menarik balik sokongan kepada perdana menteri. Terpulanglah kepada ahli Parlimen nanti untuk berbahas di dalam Parlimen,” tambahnya.

Mohamad Hasan.

Namun Mohamad memberi amaran mengenai “akibat buruk” jika sebarang keputusan parti itu tidak diikuti oleh ahli-ahlinya dan menambah Umno mesti terus kukuh atau ia berisiko digelar sebagai parti yang “tak ada telur”.

“Inilah masanya untuk Umno buat keputusan, dan malam ini kita mesti tarik balik sokongan. Apa nak jadi, jadilah.”

Perbincangan tersebut kemudiannya menyaksikan beberapa ahli MKT yang menyokong penuh cadangan Zahid.

Puad Zarkashi juga mengkritik Ismail Sabri Yaakob kerana menerima jawatan timbalan perdana menteri, mengatakan ia adalah terpulang kepada parti untuk menerima jawatan tersebut.

Ahmad Shabery Cheek pula berkata kerajaan gagal untuk mengurus pandemik ketika ini, dan sudah sampai waktunya untuk mengatakan “enough is enough”.

“The party is bigger than kedudukan lain,” katanya.

‘Jika kerajaan gagal, kita juga sebahagian daipada kegagalan’

Bagaimanapun, Alwi Che Ahmad merupakan pemimpin Umno yang paling lantang membantah sebarang langkah untuk menarik kembali sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau turut mempersoalkan berapa dakwaan yang berulang kali disuarakan sebahagian pemimpin Umno bahawa kerajaan gagal untuk menguruskan krisis Covid-19, mengatakan tuduhan demikian akan berbalik kepada Umno kerana menteri-menteri itu adalah daripada parti yang terlibat secara serius dalam memerangi pandemik.

“Kita kata dia gagal, maka kita keluar. Tidakkah kita juga sebahagian daripada kegagalan itu, kalau ianya gagal?” soal Alwi.

Alwi Ch Ahmad.

Alwi mengingatkan Umno yang hanya memiliki 38 kerusi di Dewan Rakyat tidak berada di kedudukan yang membolehkan mereka menuntut pelbagai tuntutan seperti yang pernah dinikmati sebelum ini.

“Apa yang kita lakukan sekarang ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata tidak masuk akal Umno mahu perdana menteri meletakkan jawatan dan kemudian berharap kerajaan terus kekal, menjelaskan kerajaan akan runtuh jika perdana menteri meletakkan jawatannya seperti yang berlaku kepada Dr Mahathir Mohamad yang kemudian menyaksikan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan jatuh.

“Bahagian itu yang saya tak faham. Saya sudah berikan hujah kepada presiden. Tapi presiden kata, ‘percayalah, kita akan ada angka, kita akan buat, dan tak ada lain melainkan Umno,” katanya.

Alwi berkata sebarang langkah untuk mengganggu pentadbiran juga adalah tidak adil bagi menteri-menteri Umno yang bekerja keras melawan pandemik.

“Pada saat ini dalam tahun ini, saya fikir anda tak bersikap adil kepada menteri-menteri kita, kawan-kawan yang duduk dalam kerajaan atas keputusan kita.”

Beliau berkata tiada jaminan pengurusan pandemik akan jadi lebih baik di bawah kerajaan yang diketuai Umno.

“Adakah kita buat perkata yang betul di saat yang betul? Apakah ia akan beri manfaat kepada parti, adakah ini akan membantu Melayu?

“How do we explain to the people that kita nak hanya menurunkan perdana menteri kerana perdana menteri ini gagal?”

Reezal Merican Naina Merican.

Dalam pada itu, Reezal Merican Naina Merican memberi amaran dan menentang keputusan yang terburu-buru diambil parti, mengatakan menteri-menteri Umno sudah melaksanakan tugas yang baik dalam portfolio masing-masing bagi berdepan pandemik, walaupun kritikan ditujukan terhadap menteri-menteri daripada parti lain.

Ahmad Jazlan Yaakub dari Kelantan pula menzahirkan sokongan penuh kepada Zahid, mengatakan Umno mesti keluar daripada terus menyokong kerajaan, sebuah pendirian yang turut dipersetujui Ahmad Said dari Terengganu yang berkata rakyat mahu Umno kembali berkuasa, menggesa menteri-menteri untuk mengutamakan kepentingan parti.

‘Fikir masak-masak’

Bagaimanapun, Pemimpin Sabah Bung Moktar Radin mempersoalkan masa untuk menggesa pertukaran kepimpinan negara, mengatakan Umno mungkin akan kehilangan apa sahaja kuasa yang dimilikinya ketika ini dengan keputusan menarik semula sokongan terhadap perdana menteri.

Bung Moktar Radin.

“Kita fikirkan semasak-masaknya apa yang kita capai pada malam ini, ada gayanya akan membawa kebaikan secara total kepada parti kita, ataupun di sebaliknya.

“Saya setuju dengan Reezal, kalau mahu buat, kita buat secara bijaksana.”

Dalam pada itu, Musa Sheikh Fadzir dari Pulau Pinang pula mengecam ahli-ahli Parlimen yang mempersoalkan keputusan parti, mengatakan mereka tidak menghormati presiden kerana menentangnya.

Sementara Ab Rauf Yusoh dari Melaka pula berkata ada keperluan memastikan sebarang keputusan Umno akan menghasilkan hal yang lebih baik untuk maju ke depan, dengan parti itu di kedudukan yang lebih tinggi.

Johari Abdul Ghani dan Asyraf Wajdi Dusuki, dua pemimpin yang merupakan sekutu kuat bekas pemimpin yang dijatuhkan hukuman mahkamah, Najib Razak, turut menunjukkan sokongan penuh kepada Zahid.

Johari berkata Umno hanya memberi sokongan kepada Muhyiddin selepas kejatuhan kerajaan PH, mengatakan tidak wujud pun Perikatan Nasional (PN) ketika itu, yang hanya didaftarkan lima bulan kemudian.

Beliau berkata tidak dapat menerima salah seorang daripada 38 ahli Parlimen Umno tidak mampu memegang jawatan perdana menteri.

‘Umno rugi jika situasi Covid-19 semakin baik’

Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata Umno mesti bertindak sekarang ketika situasi Covid-19 masih buruk, kerana pemulihan pandemik tidak akan menguntungkan parti itu untuk mendapat kuasa.

Abdul Rahman Dahlan.

“Tetapi bila kes Covid turun, kita juga akan rugi, sebab kita tidak akan dapat kredit. Yang akan claim kredit ialah perdana menteri. Saya khuatir, bila keadaan sudah reda dan ekonomi meningkat, apa akan jadi kepada Umno?

“Kalau Covid ini reda, saya khuatir kita tidak akan dapat kredit. Bila mereka selesa, kita akan berdepan lagi dengan masalah,” kata Abdul Rahman.

“Dalam politics, it’s all about striking when the iron is still hot.”

Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan pula memberikan kenyataan umum mengatakan mereka akan bersama dengan parti.

Tajuddin: ‘Anda fikir kerajaan akan jatuh?’

Dalam perkembangan yang mengejutkan, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang baru dipecat daripada Prasarana baru-baru ini, turut menentang tindakan Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin, mengatakan ia tidak akan menjatuhkan kerajaan.

“Jika kita keluar sekarang, anda fikir kerajaan akan jatuh? Mereka mungkin akan bersama DAP, untuk dapatkan persefahaman. DAP akan sokong, ia mungkin tak perlu masuk kerajaan, mereka hanya perlu berikan undi sahaja.

“Apa yang akan terjadi kepada Umno?”

Tajuddin berkata tiada jaminan Umno boleh selesaikan Covid-19 dan masalah ekonomi.

“Jika kita gagal selepas ambil alih, ia akan memburukkan lagi keadaan,” tambahnya.

Tajuddin Abdul Rahman.

“Sudah banyak keputusan yang kita pernah buat sebelum ini. Semuanya tak menjadi,” katanya, memberikan contoh keputusan Umno untuk sertai Muafakat Nasional, untuk sokong PN dan langkah-langkah terbaru untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beralih kepada Zahid, Tajuddin berkata pendiriannya yang tidak sependapat dengen presiden itu bukanlah satu hal yang bersifat peribadi.

“Saya sudah sokong anda, kerja keras untuk anda. Namun kali ini saya tak sependapat dengan anda.”

Noh Omar pula memberi amaran ahli-ahli Parlimen Umno yang tidak mengikut keputusan MKT akan merosakkan imej parti.

Beliau berkata lebih baik bagi Umno tunjukkan ketidakpuasan terhadap Muhyiddin ketika Parlimen bersidang pada hujung bulan ini dengan mengundi tidak menyokong ordinan darurat.

Beliau berkata sentiasa akan ada kemungkinan kerajaan PN memberikan lebih peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Umno selepas keluar kerajaan.

Pendirian yang sama turut dikongsi Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman yang berkata tindakan parti-parti pembangkang untuk senyap-senyap menyokong kerajaan, mengatakan terdapat cakap-cakap kerajaan PN mungkin akan tingkatkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang lebih dari RM300,000 yang diumumkan baru-baru ini.

Pemimpin Umno Johor Razali Ibrahim dan Khaled Nordin pula menggesa parti untuk membuat keputusan yang jelas, sementara pemimpin parti itu di Perak Zambry Abdul Kadir berkata sebarang keputusan perlu dilihat oleh rakyat sebagai langkah positif bukan berdasarkan naratif “pergelutan kuasa”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.