- Iklan -
Berita

Umno tarik sokongan terhadap Muhyiddin, gesa lantik PM baru

Masih tidak jelas sama ada keputusan Umno itu akan mendapatkan sokongan dari ahli-ahli Parlimennya yang setakat ini menolak percubaan Zahid supaya mereka mengosongkan jawatan Kabinet.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan penarikan sokongan secara serta-merta terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengatakan beliau gagal memenuhi syarat yang ditetapkan parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

“Umno mendesar agar Muhyiddin dapat berundur diri secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik bagi tempoh yang terhad,” kata Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno hari malam tadi.

Masih tidak jelas sama ada keputusan Umno itu akan mendapatkan sokongan dari ahli-ahli Parlimennya yang setakat ini menolak percubaan Zahid supaya mereka mengosongkan jawatan Kabinet.

Memberikan alasan bagi keputusan yang diambil parti itu, Zahid mendakwa kerajaan telah gagal menguruskan krisis Covid-19, menuduh proklamasi darurat digunakan untuk kepentingan politik sehingga menjejaskan ekonomi negara.

“Kegagalan kerajaan juga di mana seharusnya dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlakunya permasalahan yang amat serius dalam permasalahan sosial seperti berlakunya kes-kes bunuh diri.”

Zahid yang turut menyokong usaha Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Muhyiddin turut berkata kepimpinan Umno hari ini turut memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pemimpin PKR itu atau Pakatan Harapan.

Beliau berkata kerajaan turut memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang secepat mungkin, kerana itu Umno tidak boleh berkompromi dengan sikap kerajaan terhadap institusi raja-raja.