- Iklan -
Berita

DUN Selangor bersidang 8 hari bermula 24 Ogos depan

Sultan Selangor akan mencemar duli pada 23 September bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari hari ini mengumumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan mengadakan sidang selama lapan hari pada 24 Ogos hingga 6 September 2021 termasuk satu hari perasmian istiadat pembukaan DUN oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Ogos.

Amiruddin berkata di bawah peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk pembukaan sidang DUN melalui sebuah surat bertarikh 6 Julai 2021.

Katanya, Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah juga memberi perkenan untuk mesyuarat pertama penggal keempat DUN itu diadakan.

“Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda dan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sultan Selangor berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos 2021.

“Dewan Negeri Selangor kemudian akan mula bersidang selama lapan hari, iaitu 24 Ogos 2021 – 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 – 3 September 2021 serta 6 September 2021,” katanya.

Amiruddin turut menambah sidang DUN kali ini mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan.

Katanya, sidang yang dijalankan dengan kawalan Tatacara Pengendalian Piawai itu akan menumpukan perbincangan mengenai usaha kerajaan Selangor menangani penularan wabak Covid-19 selain mendapatkan maklum balas dan cadangan dari semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Sidang Parlimen dan DUN di seluruh negara ditangguhkan sejak Januari lalu selepas Proklamasi Darurat diumumkan kerajaan.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang bagi penggal ketiga selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos depan.

Kerajaan turut mengumumkan penetapan 3 hingga 5 Ogos depan untuk sidang Dewan Negara.

Setakat ini beberapa negeri mengumumkan pembukaan DUN pada Ogos dan September depan termasuk Johor, Pulau Pinang dan Perlis.