- Iklan -
Berita

1MDB, kerajaan fail saman rakan kongsi KPMG sebanyak AS$5.6 bilion

Kerajaan memfailkan saman itu pada 6 Julai lalu di Mahkamah Tinggi melalui Shearn Delamore & Co.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
1MDB menamakan rakan kongsi KPMG yang dilantik sebagai juruaudit 1MDB antara 15 September 2010 dan 10 Januari 2014, sebagai defendan pertama hingga ke-44. Gambar: AP
1MDB menamakan rakan kongsi KPMG yang dilantik sebagai juruaudit 1MDB antara 15 September 2010 dan 10 Januari 2014, sebagai defendan pertama hingga ke-44. Gambar: AP

Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan (Diperbadankan), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap 44 rakan kongsi firma perakaunan KPMG bagi menuntut AS$5.6 bilion, atas dakwaan melanggar kontrak dan cuai dalam pengauditan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2010 hingga 2012.

Melalui sistem e-filing mahkamah, kerajaan, Menteri Kewangan (Diperbadankan), 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 6 Julai lalu di Mahkamah Tinggi melalui Shearn Delamore & Co.

Kesemua plaintif menamakan rakan kongsi KPMG yang dilantik sebagai juruaudit 1MDB antara 15 September 2010 dan 10 Januari 2014, sebagai defendan pertama hingga ke-44.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa antara tahun 2009 hingga 2014, sebanyak AS$5.6 bilion telah dilesapkan dari 1MDB atau anak-anak syarikatnya, di bawah arahan bekas perdana menteri, Najib Razak dan dilaksanakan oleh pengurusan 1MDB, melalui pelbagai transaksi memfraud yang dilakukan terhadap 1MDB untuk manfaat Najib dan sekutunya, yang bertentangan dengan kepentingan 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan negara ini.

“Daripada dana melebihi AS$5.6 bilion yang dilesapkan daripada 1MDB dan anak syarikatnya di bawah arahan Najib, jumlah penuh sebanyak AS$3.197 bilion telah dilesapkan, dalam tahun-tahun kewangan ketika KPMG merupakan juruaudit 1MDB, iaitu pada tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012,” menurut kesemua plaintif dalam tuntutan saman itu.

Kesemua plaintif mendakwa sekitar bulan September 2010, Najib dan pihak pengurusan 1MDB secara memfraud, telah merekodkan pelaburan lanjut berjumlah AS$500 juta oleh syarikat itu dalam 1MDB PetroSaudi Limited, secara langganan tambahan Nota Murabaha, kononnya bagi tujuan syarikat usaha sama untuk memperoleh 4.23% ekuiti dalam suatu syarikat tersenarai awam, di Perancis.

“Cadangan perolehan tersebut tidak menjadi kenyataan dan jumlah AS$500 juta telah dilesapkan kepada pihak-pihak berkaitan dengan PetroSaudi International dan pihak-pihak berkaitan dengan Najib, hingga memudaratkan 1MDB.

“Seterusnya, pada atau sekitar bulan Mei 2011, Najib dan pihak pengurusan 1MDB, sekali lagi secara memfraud menyebabkan 1MDB membuat pelaburan lanjut, yang dikatakan sebanyak US$330 juta ke dalam 1MDB PetroSaudi Limited dalam bentuk Nota Murabaha tambahan, kononnya untuk membiayai projek-projek 1MDB Petro Saudi dalam sektor minyak dan gas.

“Walaubagaimanapun, langganan tambahan sebanyak AS$330 juta tersebut tidak diserahkan kepada 1MDB PetroSaudi Limited, tetapi sekali lagi dilesapkan kepada Good Star Limited,” dakwa plaintif dalam tuntutan saman itu.

Plaintif mendakwa, juruaudit statutori 1MDB untuk tahun kewangan berakhir 2010, firma pengauditan Ernst & Young, tidak dapat menyiapkan auditnya kerana kekurangan bukti audit yang sesuai dan cukup, mengenai nilai saksama dan kebolehan untuk mendapatkan balik pelaburan 1MDB, dalam usaha sama dengan beberapa syarikat lain termasuk 1MDB PetroSaudi Limited.

Dakwa plaintif, pada awal September 2010, Najib mengarahkan agar Ernst & Young disingkirkan sebagai juruaudit statutori 1MDB dan KPMG, yang dilantik untuk menggantikan Ernst & Young telah memulakan kerja auditnya pada 14 September 2010, dan berjanji akan menyiapkan audit pada atau sebelum 4 Oktober 2010.

Melalui pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa tiada transaksi memfraud dan pelesapan yang dilakukan di bawah arahan Najib dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan 1MDB ketika itu, dikenal pasti oleh KPMG semasa tempoh pengambilannya sebagai juruaudit 1MDB.

“Sebaliknya, KPMG mengeluarkan pendapat audit tidak bersyarat terhadap penyata kewangan 1MDB, bagi setiap satu tahun kewangan dari tahun kewangan 2010 hingga 2012.

“Bertentangan dengan pendapat yang dinyatakan oleh KPMG dalam laporan auditnya, penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan 2010 hingga 2012, tidak memberikan pandangan yang benar dan patut mengenai hal ehwal kewangan 1MDB,” dakwa plaintif.

Menurut plaintif, audit yang wajar oleh KPMG, sepatutnya dapat mengenalpasti beberapa tanda amaran risiko fraud, yang mana KPMG harus melaporkan dan memberikan amaran tentangnya kepada Lembaga 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kerajaan Malaysia, serta badan pengawalseliaan lain di Malaysia, disebabkan kewajipan statutorinya dan kewajipannya di sisi undang-undang lazim.

Plaintif mendakwa akibat pelesapan yang dilakukan terhadap 1MDB, serta anak-anak syarikatnya atas arahan Najib, dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan syarikat itu, plaintif-plaintif terus mengalami kerugian yang amat besar.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut daripada KPMG, sejumlah AS$5.6 bilion serta faedah bagi kerugian dan kerosakan yang berbangkit, daripada kecuaian dan pelanggaran kontrak oleh firma tersebut.

Sementara itu, kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof pada 6 Ogos ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.