Adun Selangor menggesa Menteri Besar Amirudin Shari untuk mengkaji semula caj yang dikenakan terhadap majikan untuk vaksinasi pekerja industri di Selangor, susulan ramai pemain industri berkata mereka memilih untuk mendapatkan alternatif lebih murah yang ditawarkan kerajaan persekutuan.
Haniza Talha berkata caj sebanyak RM350 di bawah Selvax, yang merupakan program vaksinasi industri yang dikelola syarikat berkaitan kerajaan adalah terlalu tinggi dan akan melambatkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok di Selangor.
“Tindakan itu jelas membebankan pihak majikan yang perlu mengeluarkan kos suntikan bagi pekerja masing-masing.
“Dalam situasi pandemik yang mencabar ini, adalah tidak wajar mana-mana pihak mengambil kesempatan dan meraih keuntungan berlipatganda daripadanya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Semalam, MalaysiaNow melaporkan caj yang dikenakan oleh Selvax lapan kali ganda lebih tinggi daripada caj vaksinasi Pikas, program vaksinasi industri yang dilancarkan Putrajaya bulan lalu yang hanya mengenakan caj terhadap majikan sebanyak RM45 bagi vaksinasi setiap pekerja.
Sebahagian majikan syarikat berskala sederhana berkata mereka merancang untuk bergabung bagi mematuhi syarat 1,000 pekerja yang ditetapkan Pikas di sesebuah lokaliti.
Program Selvax setakat menyasarkan sejuta pekerja.
Amirudin berkata caj tersebut adalah berikutan kos-kos lain termasuk pembayaran kakitangan dan pusat vaksinasi.
MalaysiaNow difahamkan dua dos suntikan akan memakan kos sebanyak RM160, dan harga tersebut akan lebih rendah jika pembeliannya dilakukan secara pukal.
Di bawah Pikas, RM15 dari kos tersebut adalah bagi pengurusan vaksinasi sementara baki RM30 adalah untuk kos berkaitan pusat vaksinasi.
MalaysiaNow masih gagal mendapatkan penjelasan daripada pimpinan kerajaan Selangor yang ditugaskan untuk memantau usaha memerangi pandemik Covid-19 di negeri itu.
Sebaliknya, Exco Selangor Rodziah Ismail salah seorang dari dua exco yang ditugaskan untuk memantau vaksinasi di bawah Selvax memberikan kepada MalaysiaNow sebuah laporan berita yang memetik kenyataan menteri besar di Selangorkini.