- Iklan -
Berita

Kesukaran laksanakan perkahwinan sepanjang krisis Covid-19

Mereka yang menghargai kehadiran ahli keluarga dan orang tersayang terpaksa tunggu sehingga pandemik reda bagi melaksanakan acara perkahwinan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Marvin Kudang Sawing dan Natasha Jee ketika malam mereka menyatakan persetujuan untuk melangsungkan perkahwinan. Mereka masih menunggu pandemik Covid-19 reda untuk melaksanakan perkahwinan.
Marvin Kudang Sawing dan Natasha Jee ketika malam mereka menyatakan persetujuan untuk melangsungkan perkahwinan. Mereka masih menunggu pandemik Covid-19 reda untuk melaksanakan perkahwinan.

Selama beberapa bulan, Marvin Kudang Sawing dan Natasha Jee berusaha keras untuk mempersiapkan majlis perkahwinan mereka.

Sudah 11 tahun hubungan terjalin, mereka sebetulnya lebih daripada bersedia untuk melangsungkan perkahwinan itu.

Acara perkahwinan itu sudah dirancang untuk dilaksanakan di gereja mereka di Kuching, Sarawak bersama ahli keluarga yang lain.

Hari-hari mereka sibuk dengan aktiviti memastikan semua orang yang perlu dijemput ke majlis itu dimaklumkan, memeriksa sekali lagi agar ibu dan bapa saudara tidak tercicir daripada jemputan.

Bagi pengantin lelaki yang merupakan seorang Iban ini adalah penting, seluruh keluarganya di rumah panjang di Pakan perlu dijemput.

Natasha pula, seorang Cina, turut merasakan hal yang, semua keluarga harus dijemput untuk acara tersebut.

Dia mahu semua orang dapat bersama-sama untuk menyambut perkahwinan mereka dan membiarkan kedua-dua keluarganya dan keluarga Marvin untuk saling bersilaturahim.

Namun ketika mereka mencari lokasi untuk acara perkahwinan, sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

Covid-19 melanda negara, segala sekatan pergerakan terpaksa dilaksanakan, ini bermaksud semua rancangan perkahwinan mereka terpaksa ditangguh.

“Terkejut kami,” kata Natasha kepada MalaysiaNow.

“Fikiran saya terus jadi buntu bila lockdown kali pertama dikuatkuasakan bagi membendung Covid-19 pada Mac tahun lalu.”

Dia dan Marvin sudah merancangan untuk berkahwin pada Disember.

Kini, lebih dari setengah tahun, mereka masih menunggu kesempatan.

Kebanyakan masalah yang mereka hadapi adalah berpunca daripada sekatan yang ketat untuk mengadakan majlis dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sejak beberapa “lockdown” diumumkan kerajaan tahun lalu.

Natasha dan Marvin tidak berminat untuk mengadakan majlis perkahwinan mewah.

Mereka mahu nilai-nilai budaya yang dipegang menonjol dalam majlis.

Di Sarawak, pertemuan keluarga dalam pesta dan majlis istimewa adalah fokus utama.

Marvin pula adalah anak tunggal dalam keluarga, maka tekanan itu sangat besar dirasakan.

“Banyak benda tak semudah yang disangka,” kata Natasha.

“Bagi kami, perkahwinan bukan hanya tentang dua orang individu. Ia adalah tentang keluarga, orang-orang di sekeliling anda.”

Selain itu, faktor agama juga turut menjadi pertimbangan.

Simon Poh, seorang ketua biskop Katolik di Kuching berkata perkahwinan secara maya tidak sah dalam amalan Katolik kerana membaca ikrar dan kebenaran disyaratkan bagi pasangan, mereka harus hadir secara fizikal.

“Bagi gereja Katolik, perkahwinan harus dihadiri secara fizikal, secara berdepan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Secara teologi, perkahwinan dikatakan sebagai satu acara sakral, kerana sakramen itu diadakan secara fizikal, ia dilaksanakan antara suami dan isteri, di hadapan ketua agama di gereja.

“Ada saat fizikal dalam ritual perkahwinan di altar gereja, seperti memegang tangan dan bertukar cincin di mana ia tak dapat dilakukan secara dalam talian.”

Bagi pasangan yang sanggup meneruskan perkahwinan tanpa acara besar-besaran, gereja Katolik di negeri itu sedia untuk membantu, selari dengan SOP yang ditetapkan jwatankuasa pengurusan bencana negeri dan beberapa pihak berkuasa lain bagi memastikan keselematan semua orang terjamin, katanya.

Beliau turut menambah seramai 60 pasangan sudahpun mendaftar untuk berkahwin tahun ini.

Beliau bagaimanapun mengakui langkah-langkah yang ditetapkan kerajaan mengganggu ramai pasangan muda yang merancang untuk berkahwin di gereja.

Pasangan daripada agama yang lain dan melaksanakan acara akad nikah secara maya bersetuju majlis perkahwinan sedemikian adalah satu pengalaman yang aneh.

Nurul Azurin Mohd Johari, yang berkahwin tahun lalu, berkata, keseluruhan acara itu memakan masa tidak sampai 20 minit.

“Suami saya yang cadangkan idea itu, selepas ibu bapa kami bersetuju, kami mohon di Jabatan Agama Islam Sarawak,” katanya.

Namun selepas acara perkahwinan terpaksa dibatalkan, pertimbangan lain terpaksa dibuat – antara lain, bagaimana untuk memastikan talian internet stabil.

“Ia adalah pengalaman yang aneh juga, kerana kami terpaksa gunakan telefon pintar atau televisyen pintar,” kata Nurul.

“Namun dengan bantuan jiran, kami boleh laksanakan acara akad itu secara langsung tanpa gangguang,”

Bagi Natasha dan Marvin, acara perkahwinan di gereja boleh dilaksanakan dalam skala kecil.

“Namun jika kami berkahwin di gereja pun, kami kena fikirkan nenek Marvin yang ada di rumah panjang di Pakan,” kata Natasha.

“Kehadirannya untuk saksikan perkahwinan kami sangat penting.”

Dengan keluarga yang perlu difikirkan, apa yang mereka boleh lakukan ketika ini hanyalah tunggu dan lihat – berdoa agar angka Covid menurun supaya hidup normal seperti sebelum ini kembali.