Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah masjid dan surau di negeri itu akan kembali dibuka seperti biasa sekiranya kes jangkitan baharu Covid-19 terus menurun manakala peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi, meningkat.
Menurut kenyataan Sultan Sharafuddin yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda bertitah sehingga perkara itu terjadi, seluruh umat Islam di Selangor perlu terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah agar menghapuskan wabak berbahaya itu.
Baginda juga memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam dalam media sosial dan surat yang menggesa rumah ibadat kembali berfungsi penuh, namun susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor, keputusan berkenaan terpaksa diambil.
“Oleh demikian, sehingga hari ini, walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di Selangor yang baginda kasihi,” menurut kenyataan berkenaan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office.
Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di negeri ini berikutan penularan wabak Covid-19.
“Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa masjid di Selangor tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk baginda menitahkan agar masjid-masjid mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat fardu dan solat Jumaat.
“Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.
Apa yang membimbangkan baginda adalah pada akhir bulan lepas, data menunjukkan kematian dalam kalangan bangsa Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.
Tambah kenyataan itu, beberapa minggu sebelum Ramadan misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baru di masjid dan surau di negeri itu.
Baginda kesal meskipun prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak ini terus mengganas dan baginda sendiri tidak sanggup lagi melihat visual memilukan memaparkan kesedihan waris keluarga yang tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
Baginda turut menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah.