Terkejut namun bersyukur dengan keputusan kerajaan melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal.
Demikian reaksi warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Chiku 1, apabila mendengar pengumuman tersebut.
Ketua Blok Felda Chiku 1 Wan Ahmad Wan Mahmud, 70, berkata ketika ini mereka berdepan situasi sukar apabila pendapatan yang tinggal tidak banyak pada masa yang sama perlu membayar hutang.
“Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini kami tambah terkesan kerana banyak kerja-kerja terhalang sedangkan hutang perlu dibayar.
“Syukur Alhamdulillah lega dengan pengumuman kerajaan itu. Selepas pelupusan hutang itu nanti lebihan pendapatan yang ada boleh digunakan untuk membeli barang keperluan lain,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Ismail Yusoff, 74, pula berkata macam mimpi apabila mendengar pengumuman itu kerana sudah lebih 40 tahun menunggu.
“Sebagai peneroka pengumuman itu amat ditunggu kerana kami menanggung hutang terlalu banyak sehingga tidak mampu nak buat perbelanjaan lain.
“Kalau nak dikira pendapatan bulanan banyak juga tetapi selepas dipotong hutang tinggallah sekitar RM500 hingga RM700 sebulan,” katanya.
Nik Aziz Nik Lah, 64, berkata selepas pengumuman pelupusan hutang itu, dia bertambah bersemangat untuk bekerja di ladang sawit.
“Sekarang bersemangat sikit berbanding sebelum ini bila ke ladang asyik termenung fikir hutang setiap bulan, malah baki pendapatan yang tinggal tidak seberapa,” katanya.
Minggu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM3.8 bilion.