Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam ditutup hari ini setelah 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu dijadualkan semula, katanya.
Menurutnya, kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lepas dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.
Menurut Khairy, 88 peratus atau kira-kira 400 petugas di PPV itu sudah divaksinasi, manakala baki 12 peratus sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baru, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka telah divaksinasi.
“Jangkitan di PPV IDCC merupakan kes pertama melibatkan PPV. Berikutan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk kami pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkenaan situasi PPV IDCC.
Khairy menyarankan individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga semalam (12 Julai) untuk melakukan kawalan kendiri selama sepuluh hari dan menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.
Menurutnya Petugas Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) diarahkan untuk ke PPV IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan PPV berkenaan yang pemaklumannya dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.
Beliau berkata semua petugas PPV IDCC sebelum ini akan ditukarkan dengan pasukan petugas baru sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.
“CITF akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya,” katanya.
Tambah beliau Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diminta untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV itu.
Khairy mengingatkan PPV lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi.
“PPV yang mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan disaran memaklumkan kepada CITF Pusat agar kami dapat membantu dengan segera,” katanya.