- Iklan -
Berita

Putrajaya umum langkah kurangkan tekanan hospital disebabkan peningkatan jangkitan Covid-19

Ia termasuk menambah kapasiti katil di hospital-hospital di Lembah Klang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan terpaksa menangani angka kes yang tinggi di seluruh negara terutama di Lembah Klang. Gambar: AP
Petugas kesihatan terpaksa menangani angka kes yang tinggi di seluruh negara terutama di Lembah Klang. Gambar: AP

Putrajaya hari ini mengumumkan langkah-langkah untuk memastikan hospital di Lembah Klang boleh menampung peningkatan pesakit akibat peningkatan kes Covid-19.

Bercakap pada sidang media hari ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan “outsourcing” perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang.

Katanya, langkah-langkah untuk mengurangkan tekanan hospital termasuk menambah kapasiti katil di Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk menggunakan tiga hospital pengajar universiti – Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia – penambahan kapasiti katil di Lembah Klang menghampiri 5,000.

Katanya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sudah mengaktifkan Disaster Management Zone melibatkan basement sebagai tambahan meningkatkan kapasitinya untuk berdepan dengan peningkatan pesakit.

Sementara Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang sudah berfungsi sebagai hospital Covid-19 penuh sejak 23 Jun, katanya.

Katanya, hospital lain kekal sebagai hospital hybrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai hospital tanpa pesakit Covid-19.

Pusat kuarantin Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di Serdang, Selangor akan dijadikan sebagai hospital bersepadu, ditambah tangki oksigen bagi tambahan 1,500 pesakit.

Kapasiti katil kecemasan juga akan ditambah dari 486 ke 591 sementara katil ICU akan ditingkatkan dari 280 ke 349 di Selangor dan dari 90 ke 117 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Adham turut berkata, jumlah bekalan oksigen di Selangor berjumlah 6,891, dengan pencapaian penggunaan sebanyak 53% (3,413) bagi pesakit Covid-19.

1,000 lagi tangki oksigen akan dihantar di pusat kuarantin MAEPS.