- Iklan -
Berita

HTAR nafi jabatan kecemasan dikosongkan kerana lawatan PM

Menurut pengarahnya, dakwaan yang tular itu adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Lawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang semalam. Gambar: Bernama
Lawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang semalam. Gambar: Bernama

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menafikan dakwaan kononnya Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital itu dikosongkan kerana menerima lawatan perdana menteri semalam.

Menurut pengarahnya, Zulkarnain Mohd Rawi dakwaan tersebut adalah “adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

“Manakala pesakit yang belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat 13 Julai, adalah seramai 177 orang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej dan gambar yang tular mendakwa ETD HTAR menjadi kosong semasa Muhyiddin melawat hospital itu semalam.

Beliau menambah keputusan untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke Wad Covid-19 berisiko rendah adalah terletak kepada pihak pengurusan wad dan bukan daripada ETD.

Tambah Zulkarnain lagi, pemindahan tersebut merupakan pelan kontigensi yang diambil bagi pengurusan bencana peringkat hospital.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut mengesahkan beberapa blok asrama doktor pelatih di sana sudah ditukar fungsi sebagai wad Covid-19.

Beliau berkata notis telah dikeluarkan kepada semua penghuni blok A dan B asrama doktor pelatih HTAR.

“Notis telah dikeluarkan kepada semua penghuni di Blok A dan Blok B Asrama Doktor Pelatih supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak 9 Julai 2021 (Jumaat) untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.”

“Selepas semua pemindahan Doktor Pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai 2021, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad Covid-19 Berisiko Rendah.” katanya.