- Iklan -
Berita

‘Lockdown’ harus jadi pilihan terakhir dalam langkah tangani Covid-19, kata pakar ekonomi

Kerajaan digesa ambil pendekatan yang lebih konsisten dalam usahanya membendung pandemik Covid-19.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana 'lockdown' di Kuala Lumpur. Pendekatan yang lebih konsisten selain merujuk langkah-langkah di negara Asia Timur perlu difikirkan kerajaan dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi negara.
Suasana 'lockdown' di Kuala Lumpur. Pendekatan yang lebih konsisten selain merujuk langkah-langkah di negara Asia Timur perlu difikirkan kerajaan dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi negara.

Ahli ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram hari ini menggesa kerajaan untuk memperkenalkan respons tindakan bersasar bagi memerangi penularan Covid-19, mengatakan sekatan pergerakan penuh atau “lockdown” harus menjadi pilihan terakhir.

Bercakap dalam forum yang dianjurkan Astro Awani, beliau berkata Malaysia mungkin gagal dalam usahanya membendung pandemik jika kerajaan tidak melaksanakan pendekatan yang lebih konsisten.

“Kita mesti ada pendekatan yang lebih konsisten bagi saya, dalam keadaan tertentu PKP di tempat tertentu tidak dapat dielakkan.

“Tetapi langkah itu adalah langkah yang terakhir bukan yang pertama,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan merujuk negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Laos dan Vietnam yang berjaya melandaikan keluk virus tanpa melaksanakan sekatan pergerakan penuh.

“Tidak boleh dinafikan pada peringkat awal ramai yang kurang memahami ciri-ciri terperinci wabak ini sudah tentu masalah akan berlaku dan kesilapan akan berlaku.

“Kita sepatutnya belajar daripada negara-negara jiran di Asia Timur seperti Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Laos, Vietnam yang tidak membuat total lockdown tetapi semua dapat dikawal.”

Jomo turut menyifatkan pandemik yang berlaku ketika ini adalah malapetaka dan menjejaskan pendapatan masyarakat.

“Kita harus ingat apa yang sedang berlaku adalah malapetaka terhadap rakyat yang tidak dapat menjana pendapatan. Yang tidak dapat cari pendapatan dengan apa-apa cara. Selepas 16 bulan lawan Covid ini sebahagian besar dari tabungan mereka sudah berkurangan.

Beliau turut berkata data terperinci mengenai golongan yang terjejas ini masih tidak dapat dikenal pasti ketika ini.

“Agak sukar kerana tiada data yang agak terperinci dari mana mana pihak untuk kenal pasti berapa ramai. Tapi kita dapati memang kebanyakan rakyat malaysia hidup sengsara sekarang

Justeru, Jomo berkata semua pihak harus belajar dan mengakui kesilapan dan menyedari Covid-19 sudah menjadi endemik dalam negara dan vaksinasi bukan lagi perlindungan seperti yang diketahui sebelum ini.

“Kita harus belajar untuk terus hidup dengan adanya Covid-19, tetapi kurangkan kesan buruknya dengan program vaksin.

“Kita harus terus fikir bukan sahaja hal relief, relief itu berkait soal pemulihan bukan pengasingan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan harus memikirkan jalan untuk maju ke depan dan tidak lagi kembali kepada status quo dalam langkah-langkahnya seperti sebelum ini.

“Sebab itu penting adanya pendekatan yang baru dan menyeluruh, pemerintahan yang menyeluruh dan melibatkan orang ramai.”