Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.
Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
“Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.
“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), hari ini.
Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).
Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.
Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.