Kebimbangan timbul berhubung kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor yang mungkin menyumbang peningkatan mendadak dalam kes-kes di negeri itu, susulan beberapa gambar tular menunjukkan pesakit positif Covid-19 bersesak dengan orang ramai.
Susulan beberapa aduan daripada orang ramai, MalaysiaNow meninjau CAC Bandar Mahkota, Cheras, di mana orang ramai berkumpul untuk dinilai dan pemotongan gelang pink yang menunjukkan pemakainya sedang dalam tempoh kuarantin.
Biarpun tidak seramai seperti yang tular di media sosial, namun tinjauan MalaysiaNow mendapati kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal yang ditetapkan di CAC Bandar Mahkota.
Seorang pesakit Covid-19, Mohd Ghazali Ismail, 42, memberitahu, beliau datang ke CAC Bandar Mahkota untuk mengetahui apakah dirinya dibenarkan kuarantin di rumah atau akan dihantar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.
“Keadaan nampak lebih teratur hari ini, cuma masih ada orang ramai terutama warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dibantu petugas,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Mungkin mereka terlepas pandang, tapi ia tidak patut berlaku, ada yang terpaksa berjalan sendiri dan ditolak ahli keluarga tanpa dibantu petugas.”
Di CAC, individu yang disahkan positif Covid-19 akan dinilai dan dimaklumkan sama ada mereka sesuai untuk dipantau dirumah.
Selain itu, CAC juga berperanan mengenal pasti pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk serta mereka yang memerlukan rujukan ke pusat kuarantin atau hospital iaitu individu bawah kategori 1 dan 2, yang tidak sesuai untuk ditempatkan di rumah.
Abdul Latiff, 38, mencadangkan kaedah lain digunakan untuk memaklumkan hasil keputusan penilaian kepada pesakit Covid-19 bagi mengelakkan kesesakan atau kesulitan kepada mereka yang tinggi jauh dari kawasan tersebut.
“Saya duduk di Ampang,” katanya.
“Tak ada cara lainkah untuk kami dapatkan keputusan? mungkin guna video call?
“Macam mana dengan mereka yang tak ada pengangkutan? Dia orang kena guna Grab? Berapa pula kos untuk itu?”
Arifuddin, 41, berkata dia berharap situasi di CAC Bandar Mahkota dapat dibaiki.
“Jangan tunggu jadi viral,” katanya.
“Semalam, ada banyak cerita barisan panjang sampai terkeluar ke jalan raya. Ini sepatutnya tak jadi begini. Macam mana kalau hujan, bukankah menyusahkan orang ramai?”
Seorang pengguna Facebook, Hjh Zety Baharuddin semalam membuat rungutan mengenai pematuhan SOP di CAC Bandar Mahkota.
Beliau turut mendakwa kakitangan di pusat itu dilihat tidak bersemangat untuk membantu orang ramai yang datang untuk dinilai.
Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan respons daripada petugas kesihatan mengenai situasi di CAC tersebut setakat ini masih gagal.
Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya sedang berusaha menambah baik operasi CAC di Selangor.
Menurutnya, kementerian kesihatan (KKM) sedang menganggarkan berapa jumlah kakitangan yang akan ditambah dan dimobilisasi.
“Kita sudah mengecilkan pengoperasian di beberapa pusat kesihatan termasuk kes rawatan kes kronik sehingga 25 peratus malah kita membuka CAC pada setiap hari serta memobilasi petugas kesihatan.”
“Kita juga menambah kelengkapan seperti khemah dan kerusi untuk memudahkan pesakit yang hadir malah kita turut mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang sama membantu menguruskan makanan serta kebajikan pesakit.”
“Malah, kita juga memastikan pusat penilaian ini dilengkapi dengan oksigen yang mencukupi dan pesakit mendapatkan bantuan oksigen sebelum dirujuk ke hospital,” katanya seperti dilapor Berita Harian.