- Iklan -
Berita

Kajian ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dinyah terbit selepas tuduhan pemalsuan, plagiat

Hasil kajian yang mengesahkan ivermectin sebagai terapi Covid-19 didapati bercanggah dengan data asli.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menunjukkan kotak mengandungi ivermectin di Cali, Colombia, pada 21 Julai 2020. Gambar: AFP
Petugas kesihatan menunjukkan kotak mengandungi ivermectin di Cali, Colombia, pada 21 Julai 2020. Gambar: AFP

Kajian yang “menunjukkan keberkesanan dan keselamatan” ivermectin – sejenis ubat untuk jangkitan parasit dan kutu kepala – bagi rawatan Covid-19, tiba-tiba dinyah terbit tanpa sebarang penjelasan.

Hasil kajian dan analisis yang dijalankan secara rawak oleh penyelidik Dr Ahmed Elgazzar dari Universiti Benha, Mesir itu telah diterbitkan di laman sesawang Research Square pada November lalu.

Kajian itu mendapati pesakit Covid-19 yang “menerima rawatan ivermectin pada peringkat awal telah melaporkan pemulihan yang ketara” dan terdapat “peningkatan dan pengurangan kadar kematian yang ketara bagi kumpulan yang dirawat dengan ivermectin” sebanyak 90%.

Kajian itu bagaimanapun dinyah terbit dari laman sesawang Research Square pada Khamis dengan alasan wujud “kebimbangan etika” yang tidak dapat dikenal pasti.

Seorang pelajar perubatan di London, Jack Lawrence, adalah antara individu pertama yang mengenal pasti kecelaruan yang timbul berhubung makalah kajian tersebut apabila ia diserahkan kepadanya oleh salah seorang pensyarahnya di peringkat sarjana.

Lawrence mendapati bahagian pendahuluan makalah itu mempunyai unsur plagiat.

Penulis makalah tersebut didapati menggunakan beberapa kenyataan akhbar dan laman sesawang berkenaan ivermectin dan Covid-19 melalui thesaurus bagi mengubah kata kunci.

“Yang lucunya, kerana itu, mereka telah mengubah istilah ‘sindrom pernafasan akut’ menjadi ‘sindrom pernafasan intens’ pada satu bahagian,” kata Lawrence.

Menurut Lawrence, data yang dipetik makalah itu juga kelihatan mencurigakan kerana ia adalah data asli yang bercanggah dengan protokol kajian.

“Penulis-penulisnya mengaku telah melakukan kajian ini terhadap pesakit berusia 18 hingga 80 tahun, namun sekurang-kurangnya tiga pesakit dalam kumpulan data itu berusia di bawah umur 18 tahun,” kata Lawrence.

Selain itu, kebanyakan tarikh dan angka dalam kajian itu didapati tidak tepat mengikut data awal. Seorang pesakit sepatutnya meninggalkan hospital pada tarikh 31/06/2020 – satu tarikh yang tidak wujud dalam data tersebut.

“Penulis mendakwa bahawa empat dari 100 pesakit meninggal dunia dalam kumpulan rawatan standard mereka untuk Covid-19 ringan dan sederhana,” kata Lawrence.

“Tetapi menurut data asli, jumlahnya adalah kosong, sama dengan kumpulan yang dirawat dengan ivermectin. Dalam kumpulan yang dirawat dengan ivermectin bagi pesakit Covid-19 yang tenat, penulis mendakwa dua pesakit meninggal dunia, tetapi jumlah daripada data asli mereka adalah empat orang. ”

Lawrence dan Guardian turut menghantar senarai pertanyaan kepada Elgazzar mengenai data tersebut, namun mereka tidak mendapat sebarang balasan.

Pejabat akhbar universiti juga tidak memberikan sebarang respons.

Lawrence menghubungi ahli epidemiologi penyakit kronik Australia dari University of Wollongong, Gideon Meyerowitz-Katz, dan seorang penganalisis data dari Linnaeus University di Sweden yang merupakan ahli reviu kertas kerja saintifik, Nick Brown bagi membantu dalam usaha analisis data dan hasil kajian tersebut dengan lebih teliti.

Hasilnya, Brown menemui banyak kesalahan data, percanggahan dan beberapa kecelaruan, yang kemudiannya diberikan kepada Guardian.

Brown berkata penulis makalah itu secara jelas mengulang data antara pesakit-pesakit tersebut.

“Kesalahan utama kertas kerja ini adalah terdapat sekurang-kurangnya 79 daripada rekod pesakit adalah klon yang jelas dari rekod yang lain,” kata Brown kepada Guardian.

“Terdapat tanda-tanda mereka cuba untuk mengubah satu atau dua bidang untuk membuatkan ia kelihatan lebih semula jadi.”

Meyerowitz-Katz berkata bahawa data yang ditunjukkan kepadanya itu adalah “palsu”.

Kajian Elgazzar sering dipetik bagi menyokong ubat tersebut dan menjadi bukti keberkesanannya, walaupun sebuah makalah reviu rakan sebaya yang diterbitkan dalam jurnal “Clinical Infectious Diseases” pada bulan Jun mendapati ivermectin bukanlah “pilihan yang tepat untuk merawat pesakit Covid-19”.

Dua meta-analisis ivermectin, yang menggabungkan hasil daripada beberapa kajian, telah memasukkan kajian Elgazzar dalam hasil keputusan mereka.

“Oleh kerana kajian Elgazzar begitu besar, dan sangat positif – sehingga menunjukkan penurunan 90% dalam kadar kematian – ia telah menguatkan bukti mengenai ivermectin,” kata Meyerowitz-Katz.

“Namun, sekiranya anda menyingkirkan kajian Elgazzar ini, kebanyakan meta-analisis yang mendapat hasil positif akan menjadikan kesimpulan mereka bercanggah sepenuhnya.”

Kyle Sheldrick, seorang doktor dan penyelidik bebas di Sydney, turut mempertikaikan makalah tersebut. Dia mendapati beberapa angka yang ditunjukkan penulis adalah “mustahil secara matematik”.

Dia berkata kesempurnaan angka dalam data itu bahkan menunjukkan kemungkinan adanya pemalsuan, menjelaskan bahawa dalam realiti sebenar, perkara tersebut adalah mustahil.

Dia juga mengenal pasti ada pengulangan dalam data kematian pesakit.

Ivermectin mendapat sambutan di Amerika Latin dan India, sebahagian besarnya kerana bukti daripada kajian pra cetak tersebut.

Walau bagaimanapun, pada Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap penggunaan ivermectin di luar ujian klinikal.

Lawrence memberitahu Guardian apa yang dimulakan hanya sekadar tugasan universiti telah menyebabkan penyelidikan menyeluruh terhadap penipuan saintifik ketika “ivermectin didakwa sebagai penyelesaian, didominasi pihak sayap kanan, anti-vaksin dan teori konspirasi ”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.